INGATAN UNTUK MAHIADDIN, PKP PENUH TANPA BANTUAN MENYELURUH ADALAH SUATU KEZALIMAN

 

Walaupun agak lambat dan Mahiaddin Md Yasin dikira lembab, sementara rakyat sudah lama menyatakan kesediaan dengan perlaksanaan PKP penuh, kerajaan akhirnya akhirnya akur dengan perkara tersebut.

Dalam kenyataan media sekadar berani melalui pdf saja lewat petang semalam, Mahiaddin mengumumkan perlaksanaan PKP penuh berkuatkuasa 1 hingga 14 Jun depan.

Ia adalah PKP penuh fasa pertama di mana semua ekonomi akan ditutup, kecuali sektor ekononi dan perkhidmatan perlu yang kategorinya akan dimaklumkan kemudian oleh Majlis Keselamatan Negara.

Sekiranya PKP penuh fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan seterusnya akan melaksanakan PKP penuh fasa kedua yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta penjarakan fizikal yang minima.

PKP penuh fasa kedua itu dijangka akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

Hanya setelah fasa kedua selama empat minggu itu berakhir, kerajaan akan kembali menguatkuasakan PKP seperti yang dilaksanakan ketika ini, di mana walau aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, tetapi hampir semua sektor ekonomi bebas beroperasi.

Sebelum ini, Mahiaddin berkeras enggan melaksanakan PKP penuh kerana ingin mempertahankan ekonomi daripada runtuh di sebalik kes harian Covid19 semakin meningkat tinggi, meskipun mengakui ia merupakan cara terbaik memerangi wabak tersebut.

Muncul dalam program bual bicara khas secara rakaman melalui TV minggu lalu, katanya, pertimbangan amat mendalam mengenai kehidupan rakyat perlu diambil kira dalam memutuskan pelaksanaan PKP penuh bagi memastikan masyarakat tidak terkesan teruk dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan.


Disebabkan itu, menurut beliau, kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan PKP penuh seperti PKP 1.0 dahulu kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai yang hilang pekerjaan selain ketidakupayaan untuk bangkit bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi.

“Memang kalau ikutkan saya, KKM kata memang itu yang terbaik Tan Sri…tapi kesan kepada negara, kalau rakyat tak bekerja, ekonomi dah runtuh nak bangunkan semula (seperti PKP 1.0), saya (kerajaan) terpaksa belanja RM340 bilion dengan enam pakej rangsangan.

“Itu bukanlah jumlah yang sedikit, tak pernah berlaku dalam negara. 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita gunakan untuk menolong rakyat.

“Ini yang rakyat harus faham. Kalau buat begitu (tutup semua sektor ekonomi) kita akan hadapi masalah yang lebih besar, nanti negara tak boleh nak bangkit,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya menjelaskan, penutupan semua sektor ekonomi semasa PKP 1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.

Beliau berkata, jika kerajaan ‘membawa semula’ PKP 1.0, negara berkemungkinan memerlukan sehingga RM500 bilion atau setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara.

“Boleh tutup (semua sektor ekonomi), tapi bila buka balik nanti mungkin sistem itu dah runtuh kerana kita kena buka semula i-Sinar, beri bantuan Prihatin, moratorium dan lain-lain, mampukah kerajaan tanggung lagi?

“Saya tak nak lihat rakyat saya terkorban hanya kerana kelekaan saya atau mereka. Saya juga tidak mahu ekonomi kita runtuh,” tambahnya lagi mempertahankan tidak mahu melaksanakan PKP penuh.

Seterusnya, dalam mempertahankan pendirian tidak mahu melaksanakan PKP penuh itu, Mahiaddin juga tidak kisah jika dirinya dianggap bodoh oleh rakyat

“Bolehlah nak salahkan kerajaan, marah Perdana Menteri pun tak apalah, saya terimalah.

“Rakyat kata ‘apa bodoh Perdana Menteri’, tak apa….”ujarnya lagi.

Begitu pun dengan kes harian kian meningkat dan kematian juga tinggi setiap hari, manakala rakyat terus diburu kebimbangan nyawa melayang dan semakin menuntut PKP penuh dilaksanakan, Mahiaddin akhirnya tiada pilihan lain lagi.

PKP penuh adalah pilihan terbaik dengan semua sektor ekonomi, termasuk pembinaan dan perkilangan mesti ditutup sepenuhnya kerana selama ini kedua-dua sektor itulah yang banyak menyumbang kepada peningkatan kes Covid19.

Namun demikian, dengan perlaksanaan PKP penuh ini, kerajaan juga tiada pilihan daripada mesti dan wajib memberi bantuan menyeluruh kepada setiap rakyat daripada pebagai golongan dan kategori dalam meneruskan hidup mereka yang terpaksa duduk di rumah sepanjang tempoh tersebut.

Selain bantuan kewangan dan makanan, pengeluaran KWSP, moratorium automatik serta kemudahan belajar untuk murid-murid sekolah dan lain sebagainya harus juga diberikan.

Jika hanya melaksanakan PKP penuh, tetapi tiada bantuan menyeluruh diberikan kerajaan, ia adalah suatu kezaliman yang tidak ubah kejamnya seperti virus Covid19 yang sedang ganas membunuh manusia ketika itu.

Mahu tidak mahu, Mahiaddin mesti berusaha sedaya mungkin memenuhi pemberian bantuan menyeluruh itu kerana jika tidak, rakyat yang kelaparan pasti saja menjadi marah dan tidak mustahil ada yang memberontak akhirnya.

Mampukah Mahiaddin?

Kalau rasa-rasa tidak mampu dan lemah upaya dalam membantu dan memelihara nyawa rakyat, eloklah Mahiaddin memikir untuk berundur atau meletak jawatan sebelum dihambat keluar dengan penuh kehinaan. 


(ShahbudinHusin 29/05/2021)



No comments: