Lockdown: Rangka pakej bantuan RM45 bilion (INI APA YANG DIRANCANGKAN BEKAS MENTERI KEWANGAN)


Oleh B. Suffian

Terdapat keperluan mendesak untuk merangka pakej baharu bantuan kewangan bernilai RM45 bilion untuk rakyat dan semua sektor ekonomi yang terjejas dengan ‘lockdown’. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun pakej bantuan kewangan bernilai RM45 bilion itu akan menyebabkan defisit belanjawan meningkat 3 hingga 4 peratus lagi, suntikan dana langsung akan membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi.

“Pakej bantuan kewangan baharu bernilai RM45 bilion ini dapat bertahan sehingga akhir tahun apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sepatutnya selesai, dengan 80 peratus penduduk diberi vaksin untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri semalam, memutuskan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh MKN.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, suntikan wang tunai berjumlah RM45 bilion ke dalam ekonomi perlu memberi manfaat secara terus  kepada pekerja dan perniagaan merangkumi:

• Seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk penganggur, menelan belanja RM7 bilion untuk baki 7 bulan tahun ini,

• Pelanjutan automatik moratorium pembayaran pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20 peratus Teratas, sehingga PICK selesai pada akhir tahun. 

Ini akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia. Kos ini harus ditanggung oleh industri perbankan, yang masih mencatatkan keuntungan selepas cukai hampir RM23 bilion untuk tahun 2020 berbanding RM32.3 bilion pada tahun 2019.

• Insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa dua tahun, merangkumi insentif upah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan dan insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan kepada majikan, yang akan mencipta pekerjaan bagi 300,000 pekerja Malaysia yang menelan belanja RM6.5 bilion setahun. Pengangguran belia masih setinggi 13.4 peratus pada Mac 2021.

• RM3.5 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kapasiti dan kemampuan hospital serta peralatan perubatan dan sumber manusia untuk mengelakkan keruntuhan sistem penjagaan kesihatan awam kita.

• RM28 bilion dalam bentuk geran kewangan; subsidi upah, sewa dan utiliti;  jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit;  untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana, pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang telah lumpuh. 

Industri pelancongan kerugian RM100 bilion pendapatan tahun lalu dan tanpa ‘talian hayat’ dari kerajaan, menghadapi masa depan yang suram.