Orang miskin perlu banyak bantuan semasa perintah sekatan, Putrajaya diberitahu

 

Bantuan makanan yang diagihkan kepada golongan B40 semasa penguatkuasaan perintah sekatan sebelum ini.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa pelbagai bantuan diberi kepada orang miskin bagi membantu mereka menghadapi perintah sekatan yang dilaksanakan di seluruh negara sekarang dan kesannya selepas itu.

Sulochana Nair dari Universiti Binary berkata, kerajaan perlu membantu keluarga B40 dengan makanan, akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan, penggantungan bayaran utiliti dan penangguhan ansuran pinjaman rumah dan kereta.

Katanya, barangan perlu seperti makanan mesti diagihkan secara sistematik, selain mencadangkan supaya kerajaan bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau menyebut tentang kemungkinan meningkatnya tekanan mental dan emosi dalam kalangan keluarga B40 dengan berkata, ia boleh membawa kepada peningkatan kejadian keganasan rumah tangga.

“Kerajaan perlu memberi perhatian teliti kepada perkara ini,” kata Sulochana.

“Perlu juga dipastikan keluarga B40 divaksin kerana mereka lebih terdedah kepada Covid-19 susulan keadaan tempat tinggal yang lebih sempit,” katanya kepada FMT.

Justeru beliau mencadangkan supaya kerajaan tidak memusatkan proses vaksinasi, selain mendapatkan bantuan daripada ketua persatuan penghuni PPR.

“Proses vaksinasi boleh dijalankan di dewan komuniti masing-masing.”

Nair juga mahu akses internet murah diberikan kepada golongan miskin, selain penyediaan peranti perlu bagi menyokong pendidikan atas talian anak-anak mereka.

Ahli akademik Fatimah Kari dari Universiti Malaya berkata, kerajaan perlu memberi bantuan tunai kepada golongan memerlukan seperti yang dilaksanakan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat semasa pelaksanaan PKP pertama Mac tahun lepas.

Pakej tersebut meliputi bayaran tunai sehingga RM1,600 kepada keluarga dan individu bujang yang layak, selain bayaran langsung sekali gus lain.

Fatimah menjangka kelumpuhan separuh ekonomi negara, tetapi berharap kerajaan mampu menstabilkannya dalam jangka pendek dengan langkah rangsangan fiskal.

Ahli ekonomi dan profesor kehormat di Universiti Malaysia Sarawak Madeline Berma mengingatkan tentang kesan buruk ke atas ekonomi sekiranya perintah sekatan berjalan lebih daripada dua minggu.

Katanya, kerajaan boleh terus melaksanakan pendekatan bersasar dalam mengawal pergerakan dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang merekodkan kadar jangkitan Covid-19 tinggi.

Beliau berkata, penghuni rumah panjang yang tidak merekodkan kes jangkitan Covid-19 juga terpaksa menjalani perintah sekatan.

“Ini menyukarkan kehidupan mereka,” katanya.

Beliau juga meragui kemampuan kerajaan untuk menawarkan lebih banyak bantuan kewangan.

“Pada ketika ini, saya hanya terfikir tentang syarikat swasta yang memperoleh untung luar biasa pada masa sekarang.

“Saya fikir telah tiba masanya mereka juga memberi sokongan bagi melengkapkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.”

Semalam Muhyiddin mengumumkan bahawa negara akan dikenakan perintah sekatan menyeluruh bermula Selasa ini sehingga 14 Jun.

Beliau berkata, langkah itu perlu perlu memandangkan peningkatan besar kes Covid-19 dan kesesakan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital seluruh negara.

Hanya aktiviti dan perkhidmatan ekonomi perlu dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu.


No comments: