Yakinlah pada kepimpinan Anwar - Dr Xavier



Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jayakumar meminta kesemua komponen Pakatan Harapan (PH) dan blok pembangkang secara keseluruhan untuk kembali bersatu padu dan terus memberikan kepercayaan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, kata Xavier, sejak kerajaan PH digulingkan oleh sekumpulan individu, para pemimpin PH telah merancang untuk mengambil alih pemerintahan negara yang kini diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

"Dalam aspek ini, orang yang memainkan peranan yang paling penting serta menentang PN tidak lain adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia satu-satunya pemimpin yang berani memerangi dan menjatuhkan kerajaan PN.

"Kita semua harus memuji dan berterima kasih kepadanya kerana melakukannya, kerana dialah satu-satunya yang berusaha untuk mencapai apa yang diharapkan oleh semua anggota PH yang lain," katanya.

Pada masa sama, Xavier menganggap Anwar tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya di atas kegagalan PH dan blok pembangkang untuk menolak Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

"Bayangkan jika dia berjaya, semua orang akan bersukacita dan menikmati hasil kerjanya. Namun kerana kalah undi di Parlimen, bolehkah kita mengatakan bahawa dia gagal dan mesti disingkirkan?

"Bagaimana dengan beberapa pihak lain, yang tidak memberikan suara semasa peringkat jawatankuasa?

"Sekiranya kita menunjukkan kesatuan dengan semua yang hadir, banyak undi belanjawan kementerian PN kalah," katanya.

Xavier juga memberi peringatan kepada pembangkang bahawa kejatuhan kerajaan PH bukanlah disebabkan Anwar tetapi kerana apa yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Anwar, kerana berusaha mengembalikan amanah rakyat. Kita perlu ingat bahawa kita hidup dalam masa yang luar biasa dan ini bermaksud bahawa langkah luar biasa perlu diambil untuk menyelamatkan negara.

"Kita perlu menyingkirkan permusuhan kita dan mencari jalan untuk terus maju untuk menstabilkan negara.

"Rakyat perlu memahami bahawa keadaan negara sekarang dan kejatuhan kerajaan PH bukan kerana Anwar, tetapi disebabkan oleh keputusan Tun Dr Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa berunding dengan pemimpin PH yang lain.

"Ini setelah kami memberikannya peluang untuk bergabung dengan kami untuk membuat perubahan. Partinya adalah minoriti dalam PH, itu pun kami memberikannya peluang untuk menjadi Perdana Menteri namun dia tetap gagal melaksanakannya," katanya.

Justeru, Xavier berharap PH dapat terus kukuh sebagai satu gabungan dan pasukan yang kekal menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada Anwar.

"Cukup-cukuplah. Kita dalam PH mesti terus maju. Malaysia berada dalam kedudukan peralihan dari segi politik. Tidak ada satu parti yang akan dapat memerintah tanpa gabungan. Ini jelas dengan apa yang berlaku kepada kerajaan PN.

"Umno menahan diri mereka sebagai tebusan dan mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka minta, bersama dengan PAS. Ini adalah ketika rakyat akan melihat bagaimana korupsi akan meningkat dan bagaimana institusi pemerintahan kita akhirnya akan mengenepikan undang-undang untuk memuaskan kerakusan tuan politik mereka.

"Ini sudah kita lihat sekarang, dan ini akan terus berlaku sehingga pemerintahan yang lebih stabil dilantik.

"Atas aspek ini, saya mengucapkan tahniah kepada Anwar atas usahanya dalam berusaha membawa perubahan dan kita semua harus menyokongnya, dengan cara apa pun yang perlu dilakukan," katanya.