Rakyat tak percaya undi pos!

 

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, undi pos lebih sukar dilaksanakan kerana sistem itu tidak dipercayai rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majoriti rakyat lebih mempercayai sistem pengundian secara fizikal berbanding undi pos.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, undi pos lebih sukar dilaksanakan kerana sistem itu tidak dipercayai rakyat.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak ia dilaksanakan namun perlu ditambah baik termasuk meyakinkan rakyat, ia lebih baik dan telus sama seperti undi secara fizikal.

“Kena ada sistem boleh dipercayai, sistem yang cekap dan kalau tengok banyak negara luar sebagai contoh Kanada, semua guna undi pos, tapi negara mereka semua orang percaya sistem itu. Kalau perkenal di sini banyak orang tak percaya, pilihan raya akan huru-hara nanti.

“Jangan kita pandai-pandai nak perkenal sistem itu. Orang lain pemikiran sivik mereka lain, pemikiran sivik kita lain. Saya bukan tak setuju dibanyakkan undi pos tapi lagi sikit jumlahnya lagi baik,” kata bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dalam sidang media selepas program memperkasakan pendidikan sivik dan pengundi.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom berkata, Malaysia masih belum bersedia memperluaskan kaedah pengundian secara pos kepada semua peringkat pengundi seperti dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya presiden baru-baru ini berikutan sistem undi pos digunakan di negara ini tidak direka untuk skala besar.

Katanya, terdapat juga unsur ketidakpercayaan terhadap sistem undi pos dalam kalangan orang awam, lebih-lebih lagi ia tidak pernah dilaksanakan secara terbuka sebelum ini.



No comments: