WISEL PENAMAT BELUM DIBUNYIKAN


Kalau tanya pendapat saya secara peribadi, saya setuju bajet ditolak awal-awal lagi kerana kerajaan ini kerajaan pintu belakang dan PM nya tiada sokongan majoriti sewaktu pembentangan bajet.

Namun, dari awal ketetapan PH melonggarkannya kerana menghormati titah Agong yang menyeru agar bajet ini diluluskan demi Covid. Tetapi PH ada pendirian tegas iaitu meletakkan beberapa tuntutan sebagai syarat utama jika mahu bajet ini disokong. Begitu juga dengan pendirian Umno. Atas tekanan ini, akhirnya kerajaan pintu belakang terpaksa akur kerana takut kehilangan kuasa maka mereka menunaikan beberapa syarat utama yang dituntut oleh PH termasuk Umno iaitu berkaitan memotorium, KWSP dan peruntukan kepada JASA.

Memandangkan semalam hanya pengundian di peringkat dasar dan banyak lagi peringkat perbahasan dan pengundian oleh kementerian-kementerian yang tentunya lebih terperinci serta memenuhi janji PH untuk menyokong bajet jika kerajaan akur dengan beberapa syarat utama tadi, maka PH tiada pilihan di peringkat ini selain dari menerima kelulusan bajet semalam. PH tidak mahu dianggap mementingkan diri sehingga menolak nasihat Agong tanpa alasan yang munasabah dan dilihat memungkiri janjinya. PH menyedari perlawanan seterusnya akan berpanjangan sehingga 17 Disember nanti dan untuk pengundian seterusnya Anwar berkata PH akan meminta pengundian secara berbelah bahagi. Ertinya bajet ini belum muktamad.

Bayangkan jika PH menolak bajet tersebut dan kita tewas di dalam pengundian kerana MP-MP dari Umno pasti akan menyokong bajet kerana dua tuntutan utama mereka telah ditunaikan. Jika ini berlaku, apa yang kita dapat adalah persepsi rakyat bahawa PH tetap menentang bajet rakyat walaupun beberapa tuntutan PH telah diikuti. Anwar akan dicop kemaruk kuasa sehingga tergamak menentang bajet rakyat. Tentunya imej PH amat buruk kerana dengan sengaja melanggar nasihat Agong sedangan tuntutan-tuntutan kita banyak yang ditunaikan walaupun tidak semua. Bak kata Anwar, utamakan kepentingan rakyat dahulu bukannya kepentingan politik.

Apakah bajet yang diundi semalam lulus tanpa ada undian bermakna sokongan kepada PM itu kukuh? Jawapannya tidak. Sokong bajet rakyat bukan bererti sokong PM. Ramai di kalangan MP Umno tidak sokong Muhyiddin tetapi mereka sokong bajet. Sebab itu kita lihat bila Speaker umumkan bajet diluluskan tanpa undian, yang bertempik bersorak di dalam dewan semalam hanya MP-MP yang menyokong Muhyiddin sahaja seperti Shahidan Kassim, Azeez Baling, Anuar Musa dan MP-MP dari Bersatu. MP-MP dari Umno tidak bersorak dan bangun dari dewan dengan wajah tawar. Mereka sedar untuk bajet ini Muhyiddin terpaksa akur dengan kehendak mereka, tetapi bagaimana dengan tuntutan-tuntutan dari Umno yang tiada kaitan dengan bajet? Contohnya jawatan TPM, Menteri Kanan dan beberapa tuntutan jawatan penting di dalam kabinet Muhyiddin? Ertinya, kerajaan Muhyiddin belum selamat.

Berundur setapak ke belakang untuk mara dua tiga tapak itu adaah pilihan yang Anwar buat. Memang ada calar sedikit pada imej PH dengan tindakan yang tidak pernah kita buat selama ini sebagai Pembangkang, tetapi tindakan bijak ini dapat mengelakkan dari calar yang lebih teruk. Anwar tidak memilih cara berfikir Mahathir yang memang dikenali suka membuat keputusan ikut emosi dan dendam, mahu tolak bajet bulat-bulat. Bila Mahathir kata, PH mengkhianati rakyat kerana tidak menolak Bajet, kita minta Mahathir cermin muka dia lebih dahulu. Kemelut ini berpunca dari beliau serta kumpulan pengkhianat. Apakah Mahathir mahu Anwar tolak Bajet membuta tuli dan akhirnya Anwar akan dikutuk rakyat kerana menggagalkan bajet yang telah memenuhi syarat utama PH dan dicop tidak mendengar nasihat Agong? Jika itu tujuan Mahathir, jelas beliau gagal. Jelas, Mahathir tiada sokongan di Parlimen.

Di dalam tempuh seminggu dua ini, bermacam perkara boleh berlaku. Apa yang pasti, Muhyiddin tidak kekal menjadi PM sehingga PRU15. Apa yang pasti, kerajaan pintu belakang ini terbukti amat lemah sehinggakan di dalam tempuh 24 jam, bajet yang dibentangkan itu terpaksa dipinda dengan banyak sekali.

Tahniah kepada semua MP dari PH juga dari Warisan dan Bebas, termasuk yang bangun untuk meminta undian belah bahagi. Kamu semua telah melaksanakan tugas dengan baik meskipun sedikit sebanyak berbeza pandangan di antara satu sama lain. Yakinlah, kerajaan tanpa mandat rakyat tidak akan kekal lama. InsyaAllah.

WFAUZDIN NS