Tak pakai pelitup muka: Rakyat keliru, denda tetap kena?
Kredit:Wan Zamzahidi Wan Zahid
Semalam, 1 Ogos 2020, penguatkuasaan pemakaian pelitup muka telah bermula dan sebilangan rakyat Malaysia telah dihukum dengan denda RM1000 seorang atas sebab tidak memakai pelitup muka. Menjadi banyak persoalan dengan arahan ini di mana dinyatakan bahawa semua orang diwajibkan memakai pelitup muka apabila berada di tempat sesak atau ketika menggunakan pengangkutan awam. Hal pengangkutan awam boleh difahami dengan mudah tapi bagaimana dengan tempat sesak? Apa justifikasi sesak? Kenapa tidak dinyatakan terus lokasi mana yang diwajibkan pemakaian pelitup muka, seperti di restoran, di pasaraya atau sebagainya.
Tambah mengelirukan apabila kedengaran ada orang yang disaman ketika duduk bersendirian di pantai. Dan ada juga ketika sedang mengisi minyak. Adakah hukum boleh dibuat dalam keadaan yang sangat kabur sebegini? Kenapa segalanya tidak diperhalusi sebelum sesuatu keputusan dibuat?
Satu perkara lagi yang perlu difahami adalah, kewujudan kes-kes baru Covid 19 kebelakangan ini, tidak banyak disebabkan penyebaran tempatan. Yang perlu dilihat sebenarnya adalah kelonggaran atau ketirisan prosedur yang wujud di pintu masuk negara. Bagaimana pihak berkuasa boleh melonggarkan kawalan di pintu masuk negara sedangkan di luar, Covid 19 masih menggila. Tindakan membenarkan seorang pemastautin tetap dari India yang masuk ke Malaysia pada 13 Julai 2020 dan membenarkan kemasukan kelasi kapal dari Filipina tanpa saringan dan kuarantin jelas menunjukkan kepincangan ini.
Disebabkan kepincangan ini, maka terwujud kluster Elsa dan juga kluster Sivagangga yang pasti akan menghantui pihak barisan hadapan dalam seminggu dua ini. Tambahan pula, dua orang kanak-kanak yang terlibat dalam kluster Sivagangga, bersekolah di dua buah sekolah di Kedah. Ini adalah risiko yang sangat besar. Ya, kita faham bahawa kita tidak pernah menghadapi wabak sebesar ini, tetapi adakah tiga bulan yang kita telah lalui sebelum ini tidak mengajar kita apa-apa?
Ya, kami akur dan kami faham bahawa prosedur PKP dan sebagainya perlu dipatuhi dan hukuman boleh mendidik, tetapi kenapa ianya yang ditolak ke hadapan sebagai keutamaan berbanding kesilapan pihak berkuasa yang “membawa” masuk virus Covid 19 ini ke dalam negara? Kenapa ada individu meragukan seperti “patient zero” kluster Sivagangga dibenarkan masuk ke dalam negara dan kenapa individu seperti “patient zero” kluster Elsa bebas bergerak dari KLIA ke Kuantan tanpa dikuarantin? Kenapa pihak berkuasa boleh percaya kepada saringan dan prosedur di negara-negara yang tidak berwibawa menangani isu Covid 19 seperti Filipina dan India dan juga percaya bahawa mereka yang masuk ini akan patuh kepada arahan kuarantin? Terlalu banyak persoalan sebenarnya yang mendedahkan bahawa betapa teruknya sesetengah dari pihak yang bertanggungjawab, dalam menguruskan hal berkaitan Covid 19 ini.
Justeru, saya menyeru pihak berkuasa untuk menilai semula keputusan-keputusan yang meragukan ini dan mengambil langkah segera untuk memastikan keselamatan rakyat terpelihara.