KAJIAN SEGERA DIPERLUKAN UNTUK PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA



Meski pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ditangguhkan hingga awal tahun depan, kerajaan mesti segera mengkaji pendekatannya untuk membantu masyarakat Bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan para petinggi politik.
Di Parlimen hari ini, saya mendesak kerajaan untuk menyiasat dan mendedahkan bagaimana berbilion saham dan tanah Bumiputera telah hilang lantaran dari ketirisan dan bocor kepada individu-individu tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Siapakah penerima saham Bumiputera selain yang diperuntukkan untuk badan-badan Bumiputera? Apakah kedudukan terkini tanah rizab Melayu yang telah dijual dan tidak diganti?
Walaupun inisiatif dan rancangan kerajaan untuk terus membantu Bumiputera memang disambut baik, rencana ini akan terus gagal jika ia tidak menyasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Keistimewaan yang dimaksudkan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera telah diperalat untuk hanya memperkayakan golongan elit dan terus melebarkan jurang pendapatan antara yang kaya dan yang miskin.
Kebijakan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dan kumpulan minoriti lain dalam ekonomi dan industri hanya boleh dicapai dengan baik melalui pelaburan dalam peningkatan kapasiti, selain latihan kemahiran dan pendidikan.
Kerajaan harus menumpukan perhatian untuk merancakkan lapangan-lapangan utama ekonomi dan memberikan dukungan yang secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan oleh tokoh-tokoh profesional yang berkelayakan dengan kepakaran dalam perniagaan sementara kedudukan pengurusan kanan tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik tetapi mesti atas asas merit yang jelas dan pencapaian masing-masing.
Dalam usaha RMK-12 membantu golongan yang benar-benar berkelayakan dan mereka yang terpinggir, saya menggesa kerajaan untuk segera menjalankan kajian yang bebas dan inklusif mengenai punca sebenar mengapa sebahagian besar kaum Bumiputera masih terus derita dan melarat meski diperuntukkan dana ekonomi dan pendidikan yang sangat besar kepada mereka untuk beberapa dasawarsa yang lalu.
ANWAR IBRAHIM
Presiden PKR

No comments: