Cuepacs gesa sambung semula perkhidmatan pekerja kontrak


Pekerja kontrak terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula, kata Cuepacs.
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyambung semula perkhidmatan semua 603 orang pekerja kontrak di agensi kerajaan yang telah tamat dan akan tamat tempoh kontrak.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat difahamkan daripada jumlah itu, 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan, manakala 338 orang lagi akan tamat dalam tempoh masa terdekat.
Cuepacs menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi kerajaan yang bimbang kontrak tidak akan disambung walaupun mereka menunjukkan mutu kerja yang baik.
“Cuepacs merayu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya semua pekerja kontrak terutamanya yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini, diambil semula bekerja, manakala mereka yang kontraknya akan tamat disambung semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata pekerja kontrak juga penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang berkhidmat 5 hingga 10 tahun, dan sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan serta jasa dicurahkan untuk agensi tertentu, maka tidak salah jika kontrak disambung lagi.
Beliau berkata pekerja kontrak yang terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka di kementerian atau agensi yang kritikal.
Katanya, usaha itu bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu kerajaan menjayakan pakej rangsangan menjana semula ekonomi negara.
“Apatah lagi negara ketika ini memasuki tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi.
“Cuepacs berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP sebelum ini… belalah nasib mereka,” katanya.

No comments: