100 hari: Apa khabar usaha banteras rasuah?



Genap 100 hari Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan hari ini. Sehingga hari ini jugalah gabungan politik itu masih belum ada logo rasmi, belum didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan yang paling penting, tiada manifesto.
Ketiadaan manifesto ini menjanggalkan memandangkan secara lazimnya, sesebuah parti mempunyai manifesto untuk dipersembahkan kepada rakyat, yakni para pengundi. Namun memandangkan Kerajaan PN naik ke tampuk pemerintahan tanpa melalui proses pilihan raya umum, suasananya adalah berbeza.
Apa yang kita boleh gunakan untuk dijadikan ‘manifesto kecil’ adalah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpinnya, terutama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebarang bentuk janji atau perancangan olehnya, sedikit sebanyak boleh dicantum-cantum untuk menggambarkan aspirasi serta manifesto PN.
Daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin, boleh dikatakan bahawa kerajaan ini mahu menggambarkan ia berusaha menjadi sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Ini mirip apa yang telah diperjuangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama kira-kira 22 bulan sebelum ini.
Dalam ucapan sulungnya selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada awal Mac lalu, beliau memberitahu, kerajaan pimpinannya akan berusaha memberi keutamaan ke atas usaha meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik
Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan, katanya.
Walau bagaimanapun, aspirasinya itu dilihat bercanggah dengan hakikat bahawa Kerajaan PN kini sedang bekerjasama dengan mereka yang sebelum ini pernah dikritik oleh beliau sendiri.
Sebagai contoh, Muhyiddin pernah mengingatkan rakyat agar tidak lupa bahawa kerajaan ‘Bossku’ sudah tumbang kerana Bossku telah buat hal curi duit rakyat, masalah skandal berkaitan 1MDB, Tabung Haji, Felda, Felcra dan pelbagai lagi.
Tetapi kini, realitinya Kerajaan PN turut dianggotai oleh parti kerajaan terdahulu yang terpalit dengan kes rasuah.
Pada Mac juga, Muhyiddin turut mengarahkan semua anggota Kabinetnya mengisytiharkan harta yang dimiliki kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tindakan itu selaras dengan komitmen kerajaan memerangi rasuah, tegasnya.
“Borang akan diedarkan dan mereka perlu menghantarkannya kepada SPRM dalam tempoh sebulan,” katanya.
Itu cerita bulan Mac, sekarang sudah bulan Jun. Apa perkembangannya? Kita tidak tahu.
Ketika pentadbiran Kerajaan PH sebelum ini, maklumat jumlah aset anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen Kerajaan dipaparkan dalam Portal Pengisytiharan Harta https://mydeclaration.sprm.gov.my/.
Portal disediakan untuk membolehkan pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen kerajaan dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan ketika itu untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan.
Daripada aspek integriti, Kerajaan PH merupakan kerajaan yang sentiasa bertungkus-lumus untuk memastikan elemen integriti terus dimartabatkan dalam pentadbiran kerajaan. Muhyiddin pernah menjadi salah seorang menteri dalam Kerajaan PH. Beliau pasti tahu tentang pencapaian-pencapaian cemerlang yang telah diperoleh Malaysia di bawah PH.
Tidak perlu mengimbas jauh jika mahu melihat pencapaian Kerajaan PH. Pada awal 2020 sahaja, pelbagai pencapaian membanggakan berjaya diperolehi negara. Kerajaan PH telah berjaya melonjakkan imej negara di persada antarabangsa serta memberi manfaat yang signifikan kepada rakyat Malaysia.
Meskipun berdepan dengan iklim ekonomi global yang mencabar, kerajaan ketika itu terus komited untuk meletakkan negara kembali ke landasan betul dan usaha-usaha yang dilakukan oleh PH telah membuahkan hasil dan membawa impak positif kepada rakyat Malaysia.
Pengiktirafan terawal yang diperoleh negara pada tahun ini adalah peningkatan kedudukan Malaysia bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk tahun 2019 ke tangga 51 (daripada 180 negara) sehingga meletakkan negara pada tangga tiga terbaik di Asia.
Peningkatan ini merupakan satu testimoni terhadap kejayaan kerajaan dalam memerangi gejala rasuah di negara ini terutama selepas beberapa tindakan drastik diambil oleh kerajaan.
Ini termasuk tindakan yang diambil kerajaan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Felda, Tabung Haji serta penahanan beberapa ahli politik oleh SPRM berikutan rasuah dan pengubahan wang haram.
Selain itu, tindakan diambil kerajaan PH untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah juga menyakinkan pihak Fitch Ratings untuk mempertingkatkan penarafan kredit negara. Jelas agensi berkenaan, PH telah memperbaiki ketelusan fiskal dan menangani skandal-skandal rasuah seperti 1MDB.
Secara kesimpulannya, komitmen PH dalam membanteras rasuah serta memastikan Malaysia ditadbir dengan integriti, efisien dan berhemah sentiasa dipandang tinggi di dalam dan luar negara. Kini tumpuan rakyat adalah kepada Kerajaan PN yang usianya menginjak 100 hari.
Adakah kerajaan ini mempunyai kemahuan politik dalam memastikan momentum perjuangan kerajaan PH dalam aspek integriti ini dapat diteruskan? Semua ini akan diperhatikan rapat oleh rakyat.
Perlu diingatkan bahawa rakyat pada pilihan raya lalu telah memilih gabungan politik yang komited dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini. 

No comments: