MCA tidak mahu negara Melayu Islam, di mana pendirian Pas?




MCA tidak mahu negara Melayu Islam, di mana pendirian Pas?
Pas satu-satunya parti Islam yang kini diberi tempat di dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa membisu setelah MCA secara terang-terangan tidak mahu negara ini dikenali sebagai negara Melayu Islam.
Pengarah Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin mempersoalkan di mana pendirian pimpinan Pas ketika rakan sekutunya MCA, enggan menamakan negara ini sebagai negara Melayu Islam?
“Bukankah Pas pernah bermusuh dengan Umno kerana MCA tolak negara Islam? Bukankah Pas bermusuh dengan DAP kerana dakwaan parti itu tidak mesra Islam?
“Pas sudah gadai prinsip Islam demi MCA? Pas lebih utamakan MCA berbanding Islam? Pas melutut dengan MCA? Pas jadi khadam MCA? Pas jual Islam kepada MCA?” soal beliau di hantaran Facbooknya.
Justeru katanya, sikap Pas itu menunjukkan pemimpin Pas yang tidak konsistan sekali gus membuktikan Pas bukanlah rakan politik yang baik
Dakwanya, Pas juga hanya menjual Islam untuk mendapat undi, buktinya apabila MCA tidak mahu negara Melayu Islam akhirnya Pas membungkam.
Terdahulu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, beliau tidak mahu mendengar orang berkata kerajaan hari ini adalah kerajaan Melayu Islam.
Beliau duduk bersama-sama membantu perdana menteri dan kebinet hari ini untuk menggambarkan negara Malaysia sebuah negara majmuk.
Wee merupakan satu-satunya wakil rakyat berbangsa Cina dilantik sebagai menteri dalam kabinet Muhyiddin. Tiga dari MCA yang lain dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Zolkharnain berkata, semasa pilihanraya kecil Tanjung Piai, Pas bukan sekadar berkempen untuk calon MCA menentang Pakatan Harapan bahkan memfatwakan ahlinya perlu memberi undi kepada calon parti itu, seorang Cina bukan Islam.
Suatu ketika dulu, katanya, Pas pernah menjadikan MCA sebagai alasan untuk parti itu menentang Umno dengan alasan Umno bekerjasama dengan MCA iaitu parti bukan Islam.
“Kata Pas, dari sudut Islam, tidak harus bekerjasama dengan orang bukan Islam termasuk dalam konteks politik Malaysia.
“Bahkan antara alasan yang diguna untuk mempersoalkan aqidah pemimpin Umno ialah kerjasama parti itu dengan parti bukan Islam MCA,” ujar beliau
Namun begitu, katanya perubahan lanskap politik menjadikan Pas menarik ‘brek tangan’ terhadap sikap kritikalnya dengan parti bukan Islam.
Perubahan itu, katanya membawa Pas bekerjasama dengan DAP melalui Pakatan Rakyat sehingga gabungan itu berjaya membentuk kerajaan misalnya di Perak.
“Di sana-sini terpampang gambar pemimpin Pas menjulang tangan bersama pemimpin DAP. Bahkan pemimpin utama Pas menyebut, DAP bukanlah musuh Islam kerana parti itu mempertahankan Pas apabila diserang oleh Umno.
“Dalam DAP ada orang Melayu Islam. Dari sudut ini DAP lebih baik daripada MCA. Bahkan ada Melayu Islam dalam DAP menjadi wakil rakyat parti itu,” tambah beliau.
Katanya, Pas yang termakan hasutan Umno akhirnya berpatah arang dengan DAP apabila Pas mengitar semula alasan yang diguna terhadap MCA, parti itu musuh Islam.
“Alasan seperti tolak hudud, lawan RUU 355, tidak mahu negara Islam dan anti ulama diguna untuk berpatah arang dengan DAP.
“Akhirnya Pas tidak bersama lagi dalam PR kerana dalam pakatan itu ada DAP. Sehingga kini sesiapa saja yang bekerjasama politik dengan DAP dianggap musuh Islam oleh Pas.
“Pada masa yang sama Pas memuji MCA pula kononnya lebih beradab berbanding DAP. Padahal, jika alasan tolak hudud diguna, MCA juga anti hudud, MCA juga tidak menerima RUU 355.
“Tapi Pas memejam mata terhadap MCA dengan semua hal itu. Pas tetap memilih MCA menjadi rakan setia politiknya. MCA dipuji sebagai lebih baik daripada DAP,” katanya

No comments: