Aku kena marah di bini, kononnya aku sibuk dengan politik sepanjang hari, tak risau dengan wabak corona virus yang meningkat kebelakangan ini.
SOALNYA, KITA BETUL-BETUL MAHU LOCKDOWN KE? MAHU DARURAT BERSKALA MEGA?
Aku pernah terdedah secara mendalam dalam bidang keselamatan kesihatan dan kesiagaan, sebab dahulunya aku terlibat dalam bidang latihan. Sebenarnya aku gembira bila mendapat tahu Majlis Keselamatan Negara mula bergerak. Dari segi pengurusan bencana, MKN akan menggunakan MKN Arahan No. 20 (Semak Semula). MKN punya autoriti untuk mengumpulkan tenaga profesional dalam bidang berkaitan, sama ada dari kerajaan atau swasta. Aku percaya jika "dormant structure" dalam MKN boleh diaktifkan dalam masa wabak ini, MKN akan mampu berfungsi dengan baik dalam mengekang penularan Covid-19.
Aku nampak bahawa apa yang cuba dielakkan adalah panik di kalangan rakyat. Nyatanya, lebih mudah mengurus bencana berbanding mengurus rasa panik manusia dalam skala yang besar. Wabak ini sudah menjadi wabak nasional, kalau dalam Arahan No. 20, ia peringkat 3, ia mesti diuruskan di peringkat nasional juga.
Setahu aku dan seingat aku (kalau belum berubah), Perdana Menteri adalah Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (Pengerusi Gerakan Negara), sementara KSU adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara. Dia boleh melantik komander dan timbalan komander lapangan. Biasanya Komander adalah Ketua Polis Negara, dan Panglima Angkatan Tentera adalah Timbalannya. Tetapi dalam kes Covid-19, aku rasa Komandernya mestilah Ketua Pengarah Kesihatan, sementara Timbalannya boleh dijalankan secara bersama oleh Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, bagi tujuan keberkesanan "penguatkuasaan" dan pergerakan aset. Jawatankuasanya mestilah semua Exco Kesihatan Negeri, semua Setiausaha Kerajaan Negeri, semua Pengarah Kesihatan Negeri, semua Ketua Polis Negeri, selain dari semua pengarah agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Aku percaya, profesionalisme mereka masih boleh dipertaruhkan untuk mengurus wabak dalam masa gawat ini.
Kita negara berTuhan, Rukunegara kita yang pertama adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Tidak semestinya kerana ada negara yang "lockdown," kita juga kena mengikut sama. Orang tidak berTuhan memang takutkan mati. Kita yang berTuhan ini, menjaga diri kita bukan kerana kita takut mati, tetapi kerana tuntutan agamanya begitu, menjaga nyawa, menjaga kesihatan. Islam dalam hal ini, dalam hal mengawal wabak, punya prinsip yang sangat jelas, "Jangan pergi ke tempat wabak, jangan keluar dari tempat wabak." Jika kita ikuti prinsip asas ini, maka kerja pihak-pihak berwajib pun akan menjadi mudah.
Dalam sebuah hadis, Baginda Rasulullah bersabda bermaksud: Apabila kamu mendengar penyakit taun berjangkit di sesuatu negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu, demikian juga jika berjangkit di negeri tempat kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu.
Sebenarnya, kesedaran diri sendirilah yang penting, tentang bagaimana kita menguatkuasa peraturan dan undang-undang ke atas diri kita sendiri, dari hal sekecil kerap membasuh tangan dalam tempoh sebegini, hingga perkara-perkara besar seperti "self-distancing" dan sebagainya. Kalangan kita yang tidak sihat pula, sama ada batuk, selsema, atau demam, atau ketiga-tiganya walaupun bukan Covid-19, disiplinkan diri untuk memakai topeng muka, menjarakkan diri dari orang lain, tidak bersalam dengan orang lain, dan kalau boleh tidak pergi berjalan keluar. Kita boleh sahaja menelefon pihak berkenaan memberitahu keadaan kita, in shaa Allah mereka akan membuat kerja mereka.
Aku tidak fikir kita perlukan "lockdown," buat masa ini. Arahan kuarantin rumah mungkin perlu di negeri-negeri, atau kawasan, atau kumpulan orang tertentu yang dikenalpasti yang terjejas teruk. Di sinilah penguatkuasaan tegas perlu, dan MKN boleh menjalankannya di seluruh Malaysia, melalui "dormant structure" sedia ada yang mampu diaktifkan bila-bila masa.
Semoga Tuhan merahmati kita. Semoga Tuhan merahmati Malaysia. Amiin.
Zukri Aksah
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA Majlis Keselamatan Negara DR ADHAM BABA
#keadilan20tahun #lawantetaplawan
Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah Wan Ismail
Parti Keadilan Rakyat Parti Keadilan Rakyat
Pakatan Harapan