KENYATAAN MEDIA DSAI



KENYATAAN MEDIA

Kementerian Kesihatan Malaysia semalam telah mengumumkan sebanyak 190 kes baharu Covid-19 yang dikesan di negara ini dalam tempoh 24 jam. Peningkatan mendadak ini adalah petanda jelas bahawa langkah tegas mesti diambil sesegera mungkin. Jika tidak, sistem kesihatan kita akan dibebankan dengan tahap penyebaran yang melampau ke seluruh negara.

Saya gusar dan bimbang melihatkan muslihat politik masih menjadi rencana utama tatkala kerajaan ini terbeban dengan penularan wabak ini. Negara-negara jiran sedang dan telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam membendung risiko Covid-19. Sebaliknya saya merasakan kurangnya tindakan segera, fokus dan ketegasan Kabinet baharu dalam mendepani krisis kesihatan dan ekonomi kini.

Atas hujah-hujah ini saya menggesa kerajaan untuk segera mengambil langkah-langkah ini:

1) bendung kadar penularan virus ini;

2) tingkatkan kebolehupayaan sistem kesihatan kita untuk mengatasi kemungkinan jumlah pesakit yang besar melibatkan pesakit-pesakit kritikal terutamanya yang kurang berkemampuan dan yang uzur;

3) mulakan langkah-langkah ransangan ekonomi dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk warga yang susah dan terpinggir;

Kerajaan mesti segera menguatkuasakan peraturan-peraturan dalam meningkatkan penjarakkan sosial (social distancing) termasuk arahan yang jelas seperti menghentikan perhimpunan yang melibatkan orang ramai, dan menangguhkan sekolah-sekolah dan segala kegiatan keagamaan untuk sementara waktu.

Para majikan baik di sektor awam ataupun swasta harus membantu dalam melaksanakan polisi kerja-dari-rumah secepat mungkin.

Kita mesti memberi pertimbangan yang serius dalam memperketat penutupan kegiatan-kegiatan perniagaan dan kedai-kedai untuk sementara waktu bagi melumpuhkan penularan wabak ini.

Kita harus menggalakkan penggunaan platform-platoform e-perdagangan dan e-penghantaran untuk mengelakkan orang ramai dari tempat-tempat awam.

Larangan tambahan terkait perjalanan antarabangsa mesti diperketatkan dengan kemungkinan besar penyebaran virus ke negara-negara lain.

Saya ingin mengulangi penghargaan dan keterujaan saya kepada barisan para perawat, kakitangan, staf sokongan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus bekerja menangani krisis ini. Negara tidak mampu untuk membalas budi kalian dalam saat getir ini.

Kerajaan mesti terus memperkuat keupayaan sistem kesihatan kita bagi menampung krisis ini untuk tempoh yang pendek, sederhana dan panjang.

Pada hemat saya, perbelanjaan yang diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan dalam pakej rangsangan yang lalu mesti ditambah dari RM150 juta yang telah diumumkan.

Fungsi utama pakej ini adalah untuk menyegerakan program berimpak tinggi yang bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan.

Ini termasuk:

o Pertambahan kelengkapan kesihatan dan prasarana untuk hospital dan klinik-klinik kerajaan

o Penyediaan topeng muka dan cecair pembasmi untuk rakyat

o Meningkatkan pemerolehan kit ujian dan ubat-ubatan

Ingin saya jelaskan bahawa ini adalah tanggungjawab kerajaan, dan kerajaan haruslah memastikan ia tidak dibebankan pada rakyat.

Kegawatan ekonomi kini semakin menampakkan tanda-tandanya. Amatlah penting untuk kita memberikan keutamaan dalam membantu mereka yang akan terkesan dengan kegawatan ini seperti mereka yang miskin dan yang melarat.

Pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan Menteri Kewangan yang lalu Lim Guan Eng telah diumumkan sebelum gelombang kedua Covid-19. Maka inisiatif ini mesti dipanjangkan bagi mendukung Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam mendepani krisis ini.

Bukti menunjukkan langkah yang paling efektif dalam memperteguh kebajikan warga dalam krisis ekonomi seperti ini adalah melalui pembayaran tunai secara langsung.

Kementerian Kewangan juga harus meningkatkan jumlah bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk bulan Mei 2020 dan mempertimbangkan bayaran tambahan one-off (sekali bayar) untuk mereka yang layak.

Saya juga ingin menggesa insurans pekerja disediakan untuk para pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang teruk yang terkesan akibat Covid-19.

Saya juga ingin mencadangkan pengukuhan tindakan ekonomi termasuk pengecualian SST untuk semua sektor sehingga Jun 2020, dan kepada sektor yang terkesan secara langsung untuk sepanjang tahun ini; insentif/geran untuk penggunaan e-perdagangan dan khidmat penghantaran kepada semua perniagaan kecil dan sederhana dan perkhidmatan makanan dan minuman; bantuan tunai untuk IKS yang dihimpit gangguan rantaian bekalan; dan penahanan pinjaman oleh bank kepada keluarga yang berpendapatan rendah yang berdepan dengan masalah kelewatan pembayaran pinjaman.

Kesemua petanda ini mirip kepada Krisis Kewangan Asia 1997 di mana saya memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan mengemudi negara mendepani krisis tersebut. Keputusan yang tegas dan sukar mesti dibuat segera oleh kerajaan hari ini.

Saya menggesa Perdana Menteri untuk menangguhkan segala gerak politik PPBM dan gabungannya bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada krisis yang kini sedang menjejaskan warga.

ANWAR IBRAHIM
16 Mac 2020