Hati-hati berita palsu ‘berkeliaran’ di media sosial


POJOK | Syabas kepada petugas kesihatan yang bekerja bertungkus lumus siang dan malam demi memastikan wabak pandemik Covid-19 dapat dibendung di negara ini. 
Penghargaan juga buat pihak berkuasa yang sentiasa memantau keadaan di seluruh negara bagi memastikan orang awam dan pengusaha patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan juga, duduk di rumah. Jika perlu keluar atas urusan penting, jangan lupa mengamalkan penjarakkan sosial dan lain-lain langkah pencegahan. 
Bagi mereka yang kebanyakan masanya di rumah kerana arahan PKP dan banyak menghabiskan masa mendampingi laman sosial, jangan pula gatal-gatal tangan menaip cerita rekaan ataupun berita palsu. 
Maklumlah imaginasi lazimnya meliar ketika waktu bosan-bosan berkurung di rumah, bermunculan idea untuk mengarang cerita yang bukan-bukan. 
Bagi yang tidak menaip berita palsu pula, jika ternampak berita palsu yang sememangnya tak diketahui asal usulnya, jangan pula cepat-cepat dikongsi dengan rakan-rakan. Pastikan kesahihan perkara itu sebelum berkongsi. 
Hampir semua agensi kerajaan dan ahli politik mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Twitter, Tik Tok dan sebagainya. Jadi rajin-rajinkanlah diri menyemak dulu dengan sumber yang sahih.
Petugas barisan hadapan tanpa mengenal lelah bekerja demi mengekang penularan wabak, jadi kita jangan pula sukarkan tugas-tugas mereka dengan menularkan perkara yang tak benar.
Kalau tidak tahu bagaimana untuk mengesan berita palsu, pesanan khidmat masyarakat di bawah boleh membantu anda. – Roketkini.com

No comments: