Sebenarnya saya menjalani “perintah kawalan pergerakan” atau “lockdown” bukan hanya bermula sejak pengumuman rasmi kerajaan ekoran meluasnya Covid19, tetapi jauh lebih awal.
Keuzuran berikutan penyakit ginjal kronik dan masalah jantung bermula sekitar akhir tahun 2015 membataskan aktiviti saya. Justeru, dunia saya agak terkepung dengan penjuru yang sempit. Sumbangan penulisan turut semakin terhad; idea kontang-tumpul apabila hubungan terbatas dan bacaan khususnya melalui bahan bercetak tambah menipis.
Kualiti penglihatan masih bermasalah walaupun tidak seteruk dulu. Buku-buku semakin berdebu di rak. Agak lama juga tidak jalani rawatan mata susulan di hospital berdekatan selepas lalui prosedur jantung tempoh hari.
Bagi penggemar buku, boleh anda bayangkan hidup tanpa membaca? Bagaimana sunyi dan sepinya. Aroma buku baharu sudah lama tidak dinikmati. Bagai terputus hubungan dengan kekalutan alam. Lebih menyeksakan, idea dan pemikiran baharu gagal dihayati.
Benar dunia aktivisme sudah lama menghilang, tetapi kegiatan menulis dan kembarnya membaca, sekali gus merenung dan berfikir membuatkan kita terus ceria dan hidup. Terasa percikan kuat daripada pergolakan sekeliling.
Sebagai wartawan pencen yang terdedah dengan dinamika politik, tentu saja kemeriahan lingkungan menuntut respons.
Perubahan mengejutkan kerajaan melalui Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14 cukup pedih dan perit. Kerajaan pintu belakang atau ditebuk melalui atap bukan gurauan lagi.
Masih terkenang peristiwa manis awal pagi 10 Mei 2018, terakamnya “Revolusi Tanpa Darah”. Saya mengungkapnya dalam dua bab khas buku yang berjudul sama. Tidak terduga meniti hari-hari akhir — kebanyakan masa dihabiskan di pembaringan ini — saya sempat menghirup udara segar kebebasan dan kicauan burung yang merdu di bawah kerajaan reformasi, yang bertekad membawa perubahan dan pembaharuan.
Perjuangan berdekad lamanya membuahkan hasil juga akhirnya. Tapi tentu sekali ia bukan penamat cerita, sebaliknya bermula babak-babak baharu yang menuntut dan menagih upaya-ikhtiar berkali lipat.
Impian dan harapan rakyat menggunung tinggi. Bukan mudah menunaikan janji manifesto tapi lebih penting memastikan pentadbiran baharu di atas landasan yang betul dan mantap. Atas daripada itu, salahguna kuasa dan pelbagai skandal mega yang menghanguskan dana negara mesti ditamatkan. Asasnya pula pada tapak yang kukuh dan tidak rapuh.
Namun seperti lazimnya, ramai kurang sabar untuk menikmati perubahan yang sekian lama didamba itu. Mereka mahu kualiti hidup ditingkatkan segera selepas mandat diberikan. Di pihak pemerintah pula, banyak kelemahan dan kealpaan dikesan.
Ya, bukan mudah proses pembersihan mengambil tempat selepas enam dasawarsa regim lama berakar. Fenomena “daulah terpendam” juga merencatkan pembaharuan. Pentadbiran baharu pula kurang pengalaman dan ada kalanya dilihat saling bertelingkah atau kurang harmonis tautannya.
Seringkali penyokong hampa dan kecewa melihat pemimpin atasan gagal menguruskan perbedaan di antara komponen “grand coalition”. Malah lebih memburuk, dalam sesama parti juga, riuh dan kecoh perseteruan. Mulanya dianggap gejala biasa dalam politik. Tapi marak bagai api dalam sekam. Sesal tidak berguna lagi. Perangkap dan jerat musuh menunggu. Hanya menunggu detik paling sesuai.
Iktibar bermakna jika mahu mengutip pengajaran daripada episod paling malang ini. Ratib “kerajaan sepenggal” rupanya menjelma lebih awal. Musnah dan hangus harapan rakyat dek kegagalan pimpinan mengolah konflik yang timbul.
Masing-masing mementingkan sejemput keuntungan peribadi dan tidak mahu berkompromi menyerap kelainan. Kita sendiri terpedaya dengan kemilau kuasa dan terbakar dek api permusuhan sesama keluarga. Idealisme perjuangan hanya basahan lidah ketika berpidato depan penyokong.
Saya tidak mampu melakar garis masa secara lebih terperinci adegan demi adegan yang menusuk kalbu itu. Kisah pilu itu bukan sekadar cerita pengkhianatan dan pembelotan yang tragis tetapi juga hikayat pedih kegagalan menguruskan kejayaan. Lebih tragis, kelemahan memikul amanah dan tanggungjawab.
Saya pernah menekankan pada akhir tahun lalu sejurus kekalahan yang mengecewakan di Tanjung Piai, empat parti dalam Pakatan Harapan — PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu — masih dalam proses saling mengenal dan memahami antara satu sama lain. Mungkin tiga parti asal termasuk AMANAH (semasa bersama Pas), selain Bersatu, sudah lama berhubungan melalui Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif. Namun parti yang dipresidenkan Muhyuddin Yassin, Bersatu, masih cukup muda, khususnya untuk meredah cabaran elemen politik baharu dan membentuk kerajaan bersama DAP.
Secara peribadi, saya sendiri tidak dapat menyelami kegelisahan dan keresahan pihak tertentu dengan “karenah” DAP. Saya gagal mengesan bagaimana tohmahan bahawa DAP sering bertindak “di luar batasan dan menyinggung sensitiviti Melayu-Islam” mempunyai justifikasi.
Rupa-rupanya dakwaan dan serangan berterusan pihak pembangkang waktu itu berjaya mempengaruhi persepsi sebahagian masyarakat Melayu.
Sikap politik mereka yang agak melampau dan ekstrim dengan faham perkauman dan keagamaan sempit disuburkan, antara lain, oleh dasar kebebasan bersuara kerajaan PH. Sememangnya nasihat, kritikan dan teguran — sepahit mana pun — tidak dihalang, namun realitinya pembohongan, fitnah dan berita palsu mendominasi suasana.
Kata-kata nista dilempar sesuka hati termasuk kepada para menteri. Mimbar masjid dan forum agama tidak sunyi daripada menyebar-luaskan mesej politik kepartian yang sarat kebencian.
Secara peribadi, sebagai penyokong pasif Pakatan Harapan, saya bersikap terbuka dengan aneka kecaman melulu terhadap kerajaan itu. Berdiri atas kapasiti pemerintah haruslah bersedia berdepan dengan teguran dan kritikan keras. Ingatlah semasa era kita sebagai oposisi, bagaimana asakan disasarkan kepada kerajaan saban waktu. Mungkin penekanan berbeda, dengan isu-isu kenegaraan yang mendesak, namun sentiasa ditampilkan fungsi pembangkang yang kritikal dan konstruktif.
—–
Artikel seterusnya nanti mengenai polemik punca-punca kejatuhan sesebuah kerajaan, apakah semata-mata disebabkan korupsi dan salahguna kuasa