MAJLIS PRESIDEN HARUS TETAPKAN TARIKH PERALIHAN KUASA MENJELANG MESYUARAT 21 FENRUARI NANTI



Hanya semalam ketika Tun Mahathir Mohamad memberi pengakuan kepada Anwar Ibrahim bahawa beliau sentiasa komited terhadap janji peralihan kuasa yang telah dipersetujuinya serta tidak terlibat sama sekali dengan sebarang komplot mengumpul tandatangan bagi mengekalkan khidmatnya sehingga habis penggal, hari ini keluar pula laporan yang berbeza.
Dilaporkan seramai 138 Ahli Parlimen sudah menandatangani Akuan Bersumpah bertujuan menyokong khidmatnya sehingga habis penggal atau hingga tahun 2023.
Walaupun angka yang dilaporkan itu agar meragukan, misalnya 26 Ahli Parlimen PKR dan 39 Ahli Parlimen BN dikatakan telah menandatangani Akuan Bersumpah itu, hakikatnya mereka yang takut dengan peralihan kuasa dan cuba menggagalkannya, tidak pernah putus asa daripada berusaha.
Dalam konteks angka yang dilaporkan itu, adalah tidak munasabah sebenarnya 26 atau lebih separuh daripada keseluruhan 50 Ahli Parlimen PKR tidak setuju Anwar menjadi Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir.
Begitu juga 39 Ahli Parlimen BN yang dilaporkan telah menandatangani Akuan Bersumpah, angka ini juga agak keterlaluan kerana jika ia betul, bermakna Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Nazri Aziz dan Ahmad Maslan yang antara dikenalinya sebagai anti Tun Mahathir turut bersetuju agarbkhidmat Perdana Menteri dikekalkan sehingga habis penggal.
Bagaimanapun, berpendirian sama seperti ketika bertemu Anwar semalam, Tun Mahathir sekali lagi menyatakan beliau tidak tahu menahu serta tidak terlibat langsung dengan pengumpulan tandatangan itu.
Malah, beliau juga hairan bagaimana laporan itu timbul kerana beliau sudah menyatakan pendiriannya untuk terus komited terhadap janji peralihan kuasa kepada Anwar sebagaimana yang sudah dinyatakannya serta dimaklumkan kepada Anwar semalam.
Cuma, di sebalik usianya yang semakin meningkat tua, Tun Mahathir seolah-olah mahu permintaannya agar peralihan kuasa dianjakkan sehingga selepas Sidang Apec pada November, difahami dan diterima.
“Saya dengar cerita macam-macam, termasuk nak suruh saya kekal 22 tahun lagi.
“Saya sudah 94 tahun.
“Tak lama lagi 95. Mana boleh tahan.
“Saya janji akan letak jawatan selepas Apec, itu saya pegang kepada janji saya. 
“Saya tidak terlibat dengan yang lain (SD), cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan,” katanya lagi.
Begitu pun, adalah dipercayai khabar angin dan spekulasi jahat yang bertujuan menggagalkan peralihan kuasa tidak akan berhenti begitu saja, biarkan selepas berpuluh kali Tun Mahathir menafikannya.
Mereka yang takut jika peralihan kuasa menjadi kenyataan dan Anwar menjadi Perdana Menteri, dirasakan akan terus berusaha dengan pelbagai cara serta helah untuk menggagalkannya.
Untuk itu, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21hb Februari ini adalah penting untuk menamatkan segala spekulasi dan khabar angin jahat itu daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.
Segala spekulasi, khabar angin dan komplot itu dengan sendirinya boleh ditamatkan jika mesyuarat pada 21hb Februari dapat menetapkan tarikh khusus tentang peralihan kuasa.
Tidak kira sama ada Mei atau November yang akan dipersetujui, tarikh khusus mengenainya tidak boleh tidak, mesti, mesti dan mesti ditetapkan kali ini.
Selagi tidak ditetapkan, selagi itulah isu peralihan kuasa ini tiada kesudahannya dan akhirnya PH sendiri akan bermasalah akhirnya.
Kali ini Majlis Presiden mesti ada ketegasan yang jitu demi masa depan PH dan negara yang sedang mereka tadbir sekarang ini. (ShahbudinHusin 14/02/2020)

No comments: