TOL TOL TOL..LAMA LAMA JADI TOLOL....



Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di beberapa lebuhraya bermula 1 Februari 2020.
Lebuhraya yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
Keputusan ini adalah susulan mesyuarat kabinet Rabu lalu membatalkan hasrat mahu menjual PLUS kepada syarikat swasta yang telah mengemukakan tawaran masing-masing.
Dengan keputusan itu, bermakna PLUS terus kekal menjadi milik kerajaan dengan Khazanah memiliki 51 peratus sahamnya dan KWSP memegang 49 peratus selebihnya.
Serentak dengan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus itu, diumumkan tempoh konsesi untuk semua Lebuhraya PLUS dilanjutkan lagi selama 20 tahun iaitu sehingga tahun 2058.
Sepanjang tempoh sehingga tahun 2058 itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan tiada lagi kenaikan kadar tol akan berlaku.
Juga disebut, tidak ada sebarang pampasan perlu dibayar oleh kerajaan kepada PLUS berikutan tiada kenaikan kadar tol itu.
Tetapi, bukankah janji PH dalam manifesto PRU14 ialah mahu menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat?
Janji itu diikrarkan akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun PH menjadi kerajaan.
Sekarang, apa yang berlaku ialah hanya kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus dan tiada pampasan perlu dibayar oleh kerajaan, namun tempoh konsesi dilanjutkan selama 20 tahun lagi sehingga 2038.
Dalam hal ini, tidakkah lanjutan tempoh 20 tahun itu lebih merupakan laba berganda kepada PLUS berbanding penurunan sebanyak 18 peratus, tiada kenaikan sehingga 2058 dan tiada pampasan?
Persoalan penting juga di sini ialah bilakah janji menghapuskan tol mahu ditunaikan oleh PH?
Yang pasti, sehingga tahun 2058 iaitu 38 tahun daripada sekarang, tol tidak sesekali akan dimansuhkan.
Apakah ini bermakna tol hanya akan dimansuhkan selepas tahun 2058?
Siapa di antara kita yang hidup lagi pada waktu itu?
Masih ingatkan PH akan janji mereka mahu menghapuskan tol yang didendangkan ketika kempen PRU14 lalu?
Atau dengan pengumuman Pejabat Perdana Menteri ini, dengan sendirinya bererti janji menghapuskan tol sudah pun dimungkiri seawal 20 bulan PH menjadi kerajaan? (ShahbudinHusin 17/01/2020)


No comments: