Bekas pemimpin pelajar dedah helah Azmin
Mohamed Azmin Ali akan terus menimbulkan masalah dalam KEADILAN bagai memastikan tindakan pecat dikenakan terhadapnya, kata Ahmad Syukri Razab.
Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Angkatan muda KEADILAN (AMK) itu berkata, rancangan itu sengaja dibuat supaya Azmin dan penyokongnya boleh mendakwa Azmin teraniaya dan diangkat sebagai ‘hero’ sekiranya dia disingkir dari parti.
“Sedangkan, ini adalah kumpulan sebenar yang menimbulkan kekeliruan,” tambahnya.
Sementara itu Syukri ketika mengulas tindakan Azmin yang mengadakan perjumpaan dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya berkata, tindakan Azmin itu semata-mata mahu menarik perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa kononnya dia mempunyai pengaruh.
“Dia cuba mempamerkan kekuatannya dengan menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Umno berada di bawah telunjuknya.
“Dengan ini, beliau berharap mendapat sokongan daripada Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri (seterusnya),” kata Ahmad Syukri dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, bekas pemimpin pelajar itu berkata, dengan banyak tekanan susulan kegagalan serta tindak tanduknya dalam parti baru-baru ini, Azmin sekarang mengalih tumpuan umum dengan cuba mendapatkan sebanyak mungkin publisiti media.
Sebagai rekod, Azmin baru-baru ini mengkritik parti kerana tidak terpilih merasmikan Kongres AMK yang dijangka berlangsung bulan depan.
Azmin turut dibidas berhubung sikap angkuhnya yang enggan hadir ke mesyuarat peringkat tertinggi parti dianggotainya.
“Mungkin Azmin senang diperlakukan sebagai fenomena. Publisiti yang buruk adalah publisiti yang baik untuk seorang ahli politik yang taksub dengan lensa kamera
“Beliau berharap mendapat sokongan Mahathir. Sayangnya, matematik mudah menunjukkan cita-citanya itu tidak boleh dicapai.
“Oleh itu, saya menasihati pemimpin ‘kabilah pintu belakang’ dan pengikut setianya untuk berhenti mengetuk pintu belakang,” katanya menurut laporan itu lagi.
Sebagai rekod, Azmin merupakan antara pemimpin yang mempersoal keputusan pakatan Harapan (HARAPAN) memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya menewaskan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. – RF8 Media