- Isu khat, Lynas: Pertimbangan politik perlu diutamakan – Penganalisis
Kontroversi sisa radioaktif buangan kilang nadir bumi Lynas dan pengajaran khat Jawi di sekolah vernakular wajib dihadapi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan matang dan mengambil kira arah sokongan pengundi.
Penganalisis ekonomi Jameson Tan berkata, tiada jalan mudah buat PH dalam menangani kedua-dua isu panas terbabit. Menurutnya isu-isu itu hampir pasti menghilangkan undi DAP, komponen kedua besar dalam parti pemerintah.
Andainya situasi itu berlaku, kata Jameson maka PH tidak mungkin berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) ke 15 kelak.
Katanya, penerusan kesinabungan kerajaan PH amat penting bagi reformasi struktural, terutama dalam perkhidmatan awam. Mengambil contoh negeri-negeri yang mana PH menang, dua penggal diperlukan bagi melengkapkan pembaharuan.
“Dalam hal ini semua pihak mesti mengambil tindakan yang rasional dan bukannya meluahkan perasaan ke atas isu ini berdasarkan emosi atau sentimen perkauman. Masa depan anak-anak rakyat Malaysia adalah isu utama yang penting sekali.
“Kalau DAP dan PH hilang sokongan daripada sebahagian besar dari penyokongnya akibat dari isu-isu ini, maka ia adalah satu perkara yang sedih sekali, sebab hari demi hari ada sahaja pihak yang tidak puas hati dengan DAP atau PH,” katanya.
Tegas Jameson, jika pengundi bukan Melayu ‘duduk rumah’ pada hari mengundi (PRU15) sementara pengundi Melayu keluar berpusu-pusu untuk mengundi maka sudah pasti BN – Pas akan memenangi pilihan raya.
“Sudah tiba masanya menteri-menteri Kerajaan PH berbincang dan berunding sebelum membuat pengumuman atau perlaksanaan sebarang dasar.
“Hingga hari ini, beberapa kementerian nampaknya ‘menjalankan operasi mentadbir secara tunggang-langgang sahaja’. Pengurusan kedai barang runcit pun lebih sempurna. Pelabur asing dan ramai rakyat Malaysia kian berasa tidak puas hati dengan pimpinan PH.
“Oleh itu, PH mestilah berusaha untuk mentadbir dengan lebih holistik. Saya harap mulai sekarang Kerajaan PH akan bertindak dengan lebih bijak demi masa depan Malaysia,” katanya lagi. – RF8 Media