BENARKAH WARGA TENTERA HANYA MAKAN TIDUR?




Saya telah membaca tulusan seorang ahli perniagaan iaitu Koon Yew Yin di sini (http://koonyewyin.com/2019/08/12/my-proposal-for-the-reduction-and-improvement-of-our-civil-service/) .  Di dalam begitu banyak yang beliau huraikan dan cadangkan kepada kerajaan, satu-satunya yang saya tidak setuju dan membantah keras anggapan beliau adalah bahawa *"tentera tidak menembak, kecuali sasaran menembak lapangsasar dan tentera hanya makan tidur".*  Ini menunjukkan bahawa penulis tersebut tidak memahami langsung fungsi dan tugas Angkatan Tentera, dan beliau mungkin berfikir bahawa Angkatan Tentera ini hanya perlu wujud setelah berlakunya peperangan.  

Saya tidak melihat apa yang beliau tulis itu sebagai mewakili kaum tertentu jauh sekali dari parti tertentu.  Ini pandangan peribadi beliau yang jahil tentang fungsi dan tugas anggota tentera ketika aman dan ketika perang.  Pendapat beliau itu sama seperti pendapat seorang pemimpin Melayu, Tan Seri Haris Salleh, bekas KM dan pemimpin parti politik dari Bn, yang juga jelas mempertikaikan fungsi Angkatan Tentera sewaktu aman.  Sila rujuk tulisan beliau di sini  (http://www.dailyexpress.com.my/news/137210/review-role-of-armed-forces-harris/) .  Meskipun Harris Salleh ini Melayu Islam, bagi saya dia tiada bezanya dengan ahli perniagaan Cina itu tadi.  Sama-sama jahil dan tidak memahami  fungsi sebenar ATM.  Maka, tidak perlu kita jadikan ini isu perkauman kerana di kalangan pemimpin Melayu pun ada yang tidak memahami bidang tugas dan tanggungjawab ATM.

Saya tabik kepada Timbalan Menteri Pertahanan, YB Liew Chin Tong, meskipun seorang Timbalan Menteri dari Dap yang berbangsa Cina, beliau tetap mempertahankan ATM dan memahami peranan sebenar ATM dan peka kepada kebajikan warga tentera.  Beliau pernah tegaskan bahawa warga tentera bukan "buruh kasar" atau "kuli" kepada sesiapa.  Beliau tidak setuju warga tentera digunakan sebagai alat atau jentera mana-mana pihak untuk mengaut keuntungan.  Contohnya, jika ada projek dari mana-mana menteri atau wakil rakyat yang dijanjikan kepada rakyat, warga tentera dikerah untuk melaksanakannya untuk mengurangkan kos upah kononnya.  Projek "Jiwa Murni" tidak boleh diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu.  Menurut Timb Menteri Pertahanan, ketika negara ini aman, warga tentera sentiasa berada di dalam siap siaga.  Mereka sentiasa berlatih untuk mempertingkatkan tahap profesionalisma mereka.  Ertinya, warga tentera tidak tidur dan makan sahaja.  Tahukah ahli perniagaan tersebut dan Harris Salleh bahawa di dalam keadaan negara aman sekalipun, warga tentera ada yang menyambut puasa dan berhari raya di hutan belantara dan di tengah lautan luas?  

Tidak masuk akal warga tentera ingin dikerah untuk membuat tugas peneroka felda atau menjadi "buruh kasar" atau "kuli" di kampung.  Ini yang ingin dipertahankan oleh YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan.

Mengapa pendirian Timb Menteri Pertahanan ini tidak kita hebuhkan dan kita puji, sebaliknya kita mainkan isu perkauman dengan memetik seorang ahli perniagaan yang tidak tahu apa-apa tentang ATM.  Mengapa kita tidak hentam kenyataan Harris Salleh yang turut mempertikaikan peranan ATM? Kerana dia orang Melayu dan pemimpin Bn?  Kita tidak adil jika berfikiran begitu.  

Sekali lagi, saya ingin nyatakan bahawa kita patut hargai peranan ATM samada sewaktu aman atau sebaliknya.  Hanya warga tentera dan bekas tentera sahaja yang tahu kesenangan dan kepayahan serta kesukaran berada di dalam bidang yang mencabar ini.  Pihak lain yang tidak faham jauh sekali merasainya, elok duduk diam dan bersyukurlah negara kita ini aman damai.  

WFAUZDIN NS