Lupakah Haji Hadi akan ikrar perangi rasuah, kezaliman?


Berguling pemimpin komunis seperti Lenin, Stalin, Mao Zedong, Kim Il-Sung, dan Fidel Castro di dalam kubur mereka membaca kenyataaan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang menyamakan mereka dengan sosialis seperti Jawaharlel Nehru (India), Nelson Mandela (Afrika Selatan), Clement Attlee dan Harold Wilson (UK), Willy Brandt (German Barat), Olof Palme (Sweden), Robert Hawke (Australia), dan Norman Kirk (New Zealand). 

Takkanlah Presiden PAS sebegitu jahil sekali sehingga tidak dapat membezakan dua kumpulan pemimpin yang berbeza ini sehingga boleh menuduh yang pengisytiharan harta itu adalah satu konsep komunis dan sosialis yang dirancang oleh DAP. 

Seperti yang telah dikatakan oleh Presiden DAPSY Saudara Howard Lee; Mesir, Maghribi, Palestin, Yaman, dan Libya semuanya adalah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan pada masa yang sama mempunyai peruntukan yang mewajibkan pengisytiharan harta. Adakah negara-negara ini komunis ataupun sosialis?

Saya yakin Hadi tidak akan mengatakan yang negara-negara ini juga telah dipengaruhi DAP ataupun kini bukan lagi sebuah negara Islam kerana telah menjadi sebuah negara komunis ataupun sosialis — jelaslah ini menjadi bukti kecuaian Hadi terhadap kebenaran sesuatu fakta yang menjadi ciri utama kepimpinan Hadi dalam PAS dan pakatan PAS-UMNO/BN. 

Kecuaian dalam terhadap fakta dan prinsip dalam kalangan pimpinan PAS telah mencapai satu tahap yang sangat teruk sehingga anak Arwah Tok Guru Nik Aziz sendiri berani mengatakan yang kleptokrat tersohor Datuk Seri Najib Razak lebih popular di kalangan rakyat berbanding dengan arwah ayahnya yang merupakan bekas Mursyidul Am PAS. 

Pemimpin PKR Anwar Ibrahim juga telah menyekolahkan Hadi apabila beliau menjelaskan yang Umar Abdul Aziz juga telah mengiytiharkan harta beliau dan seluruh ahli keluarganya sesudah menjadi khalifah Umayyad yang ke-lapan demi memastikan ketelusan. 

Ini merupakan contoh ke-tiga kecuaian Hadi dalam mencari kebenaran yang dikaburi dengan obsesi beliau untuk mencari kesalahan dan memburuk-burukkan DAP — semuanya kerana DAP menolak pencalonan Hadi sebagai bakal PM Pakatan Rakyat untuk PRU13 pada bulan Mei 2013. 

Saya boleh berikan contoh ke-empat kecuaian Hadi. Semasa Pilihanraya Kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014, Hadi berkata DAP telah mempertahankan PAS pada tahun 1978 apabila kerajaan Kelantan jatuh ke tangan Barisan Nasional yang menyebabkan kekecohan dalam negeri tersebut. 

Beliau berkata, BN yang berkerjasama dengan PAS ketika itu, tidak berbuat apa-apa langsung untuk membantu mereka. 

Hadi telah berkata: “Hanya DAP yang membantu kami ketika itu dan kami berterima kasih kepada mereka untuk itu.

“Walaupun terdapat perbezaan di antara kita berkenaan dengan perkara-perkara seperti alkohol, khinzir, hudud, dan isu halal, kita juga mempunyai persamaan, untuk bersama menentang rasuah, kezaliman, dan untuk berjuang demi keadilan untuk semua rakyat.”

Tetapi, Hadi kini sudah berubah. 

Beliau sudah lupa mengenai kepentingan untuk melawan rasuah, kezaliman, dan perjuangan demi keadilan untuk semua. Kini beliau menjadi jaguh kerjasama PAS-UMNO, yang kini diketuai oleh Datuk Seri Zahid Hamidi — yang mencipta sejarah dalam sistem kehakiman negara dengan 87 pertuduhan jenayah berkaitan rasuah — dan kerjasama PAS dengan Barisan Nasional yang baru sahaja melantik seorang kleptokrat tersohor sebagai Pengerusi Badan Penasihat mereka!

No comments: