Semalam, tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah meminta UMNO agar bersiap sedia dengan kemungkinan pilihanraya secara mengejut diadakan.
Gesaan itu dilontarkannya berikutan kemungkinan kononnya Tun Mahathir Mohamad akan berdepan kesukaran untuk melakukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, lalu jalan mudahnya ialah mengadakan pilihanraya secara mengejut.
Ahli Parlimen Gua Musang itu seterusnya meminta UMNO dan Pas agar bersiap sedia dan menyelesaikan soal pembahagian kerusi dengan segera.
Kemudian, apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaleigh itu turut dipersetujui oleh Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang membayangkan tidak mustahil pilihanraya mengejut akan diadakan seawal tahun depan.
Asyraf juga melahirkan keyakinan bahawa UMNO, melalui kerjasama dengan Pas, mampu mengalahkan PH jika pilihanraya secara mengejut itu diadakan.
Soalnya, perlukah Tun Mahathir mengadakan pilihanraya secara mengejut?
Jika diteliti, PH baru berkuasa selama kira-kira setahun dan menjelang awal tahun depan, tempohnya menjadi kerajaan baru saja mencecah setahun setengah.
Ketika ini PH masih berusaha menunaikan janji-janji manifestonya dan berikutan beban kewangan negara, ada janji yang sudah ditunaikan dan ada yang terpaksa mengambil masa untuk dilaksanakan.
Menjelang pertengahan tahun depan juga, peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar akan dilaksanakan sebagaimana yang telah dipersetujui dan dijanjikan.
Bermakna, tahun depan atau tahun 2020 adalah tahun yang penting bagi PH dalam membuktikan ia adalah kerajaan yang bersama dengan aspirasi rakyat yang telah bersatu padu menumbangkan BN pada PRU14 lalu.
Selepas tahun depan, PH masih ada tempoh berkuasa sehingga 2023 sebelum pilihanraya mesti diadakan.
Dengan yang demikian, adalah tidak munasabah untuk pilihanraya secara mengejut diadakan. Dalam tempoh yang berbaki ini, adalah lebih baik bagi PH berusaha menunaikan janji manifestonya dan memastikan peralihan kuasa berjalan lancar yang sekaligus akan memastikan gabungan itu terus stabil dan dipercayai rakyat dalam mentadbir negara ini.
Mengadakan pilihanraya secara mengejut di ketika banyak janji sedang diusaha untuk dilaksanakan, hanya akan mengundang risiko buat PH serta memberi kelebihan kepada BN dalam kempen-kempen mereka.
Dengan kata lain, PH akan lebih mudah ditolak rakyat melalui peti-peti undi jika pilihanraya secara mengejut diadakan berbanding menghabiskan penggalnya sehingga ke akhir tempoh.
Ini kerana dengan semakin banyak janji ditunaikan dan ekonomi perlahan-lahan dipulihkan, keyakinan rakyat kepada PH akan terus bertambah kuat lagi.
Tidak sukar memahami bahawa keinginan UMNO terhadap pilihanraya mengejut hanyalah gambaran merupakan kesengsaraan dan resah di jiwa menjadi pembangkang sejak setahun yang lalu.
Mereka beranggapan jika pilihanraya segera diadakan dan mungkin BN memperolehi kejayaan, keperitan menjadi pembangkang dan hidup tanpa kuasa akan segera dapat diakhiri.
Bagi UMNO dan BN, keinginan mereka hanyalah kepada kuasa semata-mata.
Tapi, tiada keperluan sama sekali sebenarnya untuk pilihanraya mengejut diadakan dan kepada pemimpin UMNO, bersabarlah kira-kira empat tahun lagi sehingga 2023 untuk belajar menjalani hidup tanpa kuasa, tanpa elaun dan tanpa peluang untuk menyamun seperti 61 tahun sepanjang BN berkuasa sebelum ini.
Setidak-tidaknya, jika sudah berjaya hidup sebagai pembangkang sehingga 2023, kalau kalah lagi pun dalam PRU15 akan datang, keperitan dan kesengsaraan hidup seterusnya tanpa kuasa sudah boleh dianggap perkara biasa saja. (Shahbudindotcom 17/05/2019)