KISAH 2 ANGGOTA POLIS DI ANIAYA DAPAT PERHATIAN KETUA POLIS NEGARA

RF8:SEPANG – Tak sampai 24 jam selepas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengumumkan kesediaannya berjumpa seorang bekas pegawai, Md Ali Amir Batcha yang mendakwa dianiaya pasukannya, seorang lagi pegawai kanan polis tampil membuat pendedahan yang serupa.
Kali ini ia melibatkan seorang pegawai berpangkat Asisten Supritendan (ASP) dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Seperti mana Mohd Ali, pegawai berusia 36 tahun itu juga dari Bahagian Siasatan Khas (D9). Beliau banyak menyelesaikan pelbagai kes jenayah berat termasuk sindiket pengedaran senjata api, sindiket curi kereta mewah dan berjaya menembak mati ramai penjenayah bersama pasukannya.
ASP Saiful Bahari Yunus yang turut dikenali dengan nama gelaran ‘Shadow’ turut menerima banyak surat penghargaan di atas keberaniannya bertempur dengan penjenayah, pernah mendapat perhatian media apabila pernah cedera parah di bahagian muka dan patah tangan setelah terjatuh daripada bumbung sewaktu mengejar penjenayah hingga pipinya terpaksa ditanam dengan ‘plet besi’sehingga kini.
Namun menurut Saiful Bahari, semua kejayaan dan kesungguhannya dalam membanteras jenayah bagaikan tidak memberi makna apabila mendakwa difitnah kononnya membekalkan dadah kepada ‘sumbernya’ sebagai upah hingga menyebabkan beliau terpaksa meringkuk dalam penjara dan dipakaikan alat sistem peranti pemantauan elektronik (EMD) di kakinya.
“Saya ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota Narkotik ketika berada di pejabat pada tengah malam 17 Januari 2017, saya kemudian dibawa ke rumah saya dan rumah saya digeledah di hadapan isteri saya yang ketika itu tengah sarat mengandung anak ketiga kami.
“Seorang pegawai berpangkat ASP menuduh saya dan beberapa anggota bawahan saya terlibat dalam sindiket dadah di Kedah, kononnya ia berdasarkan kejayaan mereka memintas perbualan telefon kami.
“Kata mereka perbualan telefon saya dengan anggota saya itu sangat meragukan kerana perkataan ‘barang’ yang kami gunakan ketika berbual, puas saya jelaskan perkataan ‘barang’ itu merujuk kepada risikan senjata api (yang berkaitan dengan tugas kami), bukannya dadah, namun penjelasan itu langsung tidak dihiraukan mereka,” katanya pada Malaysia Gazette di sini hari ini.
Sebelum ini bekas penguasa polis, Md Ali Amir Batcha meminta kerajaan menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat kembali konspirasi tuduhan palsu melibatkan dirinya. Malah, Md Ali, 65, turut menggesa agar tribunal itu dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran beliau sudah hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa berkenaan. Bapa kepada lapan orang anak itu mendakwa, beliau telah dianiaya oleh pihak-pihak tertentu hingga dipenjara tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.
Dalam pada itu, Saiful Bahari juga berkata, sepanjang proses soal siasat juga, beliau telah diugut untuk menandatangani beberapa keterangan atau berhadapan dengan ancaman tidak dibenarkan menerima lawatan daripada pihak peguam dan ahli keluarganya yang lain.
Mengulas lanjut, katanya, pada 27 Januari tahun yang sama, beliau telah diberi jamin polis bagi kes 39B Akta Dadah Berbahaya dan ditahan semula di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Katanya, beliau kemudian dibawa ke Penjara Simpang Renggam, Johor untuk ditahan selama dua tahun sebelum mendapat perintah baru tidak lama kemudian iaitu pergantungan perintah tahanan dan dihantar ke mukim Tebrau, Johor Bahru bagi menjalani hukuman sekatan dengan dipakaikan alat peranti EMD di kaki sehingga tamat tempoh baru-baru ini.
“Saya melihat kepimpinan baru PDRM yang diterajui Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sangat terbuka menerima pelbagai masalah yang diajukan, justeru saya berharap kes saya ini akan diteliti semula kerana jika kes ini disiasat dengan telus, saya percaya segalanya akan terbongkar.
“Yang pasti, saya tidak akan mengkhianati pasukan saya dan negara, sekali saya dah pakai uniform ini, sampai mati pun biarlah dalam uniform ini.
“Sesungguhnya doa orang teraniaya ni tiada hijab, baru-baru ini pegawai yang menganiaya saya dalam kes dadah itu telah ditangkap SPRM dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima suapan bernilai hampir RM3juta!
“Inilah balasan bagi mereka yang tidak telus dalam menjalankan tugas,” katanya yang sehingga kini masih digantung kerja dan menjual alat penapis air bagi menampung perbelanjaan harian keluarganya. – Malaysia Gazette.