Gandingan ‘Harimau Asia’ gerunkan BN – Mat Sabu
Gabungan dua tokoh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah mendapat jolokan ‘Harimau Asia’ kerana membangunkan ekonomi Malaysia dalam tempoh singkat diyakini akan menggerunkan Umno-BN.
Menurut Presiden Amanah Mohamad Sabu, gabungan empat parti dalam Pakatan Harapan – Amanah, PKR, DAP dan Bersatu amat ditunggu-tunggu rakyat untuk merubah masa hadapan negara ke arah lebih baik.
“Gabungan empat buah parti ini memang dirindui rakyat terutamanya apabila melihat kerajaan Najib yang teruk.
“Saya berkeyakinan penuh perkara yang kita janjikan antaranya minggu pertama selepas kita ambil alih (kerajaan), kita akan memulakan proses untuk membebaskan Anwar dengan pengampuan Yang di-Pertuan Agong dan beliau boleh terlibat sepenuhnya dalam memimpin Malaysia, gabungan dua tokoh inilah yang ditakuti,” katanya.
Ucapan beliau di ceramah perdana “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam malam tadi mendapat tepukan dan sorakan gemuruh kira-kira seribu hadirin.
Harapan selepas mengumumkan struktur organisasi dan logo gabungan itu 14 Julai lalu turut meletakkan usaha pembebasan Anwar jika memenangi PRU14 sebagai agenda utama.
“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” kata Mahathir kepada pemberita selepas mengumumkan struktur Harapan.
Mahathir sebagai Pengerusi Harapan manakala Anwar sebagai Ketua Umum.
Menurut Mohamad, gabungan Mahathir dan Anwar juga akan membuang persepsi negatif rakyat terhadap Harapan sebaliknya meningkatkan keyakinan mereka bahawa Harapan serius untuk mengambil alih kerajaan daripada pemerintah yang kleptokrat.
“Apabila datangnya Bersatu bersama Tun Mahathir bergabung dengan Anwar persepsi rakyat selepas doktrin perkauaman yang dimainkan Umno-BN telah terbuang.
“Apabila kita ke kedai kopi orang tanya bila pilihan raya. Tiga hari selepas struktur Pakatan Harapan diumumkan orang tak tanya lagi bila pilihan raya tapi jumpa saya semua angkat ibu jari. Kita menunggu kerajaan baru selepas pilihan raya ke-14,” katanya yang dilantik sebagai Timbalan Presiden Harapan bersama tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng.
Ceramah pertama selepas struktur organisasi Harapan diumumkan itu turut dibarisi Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli, Setiuasaha Publisiti DAP Tony Pua manakala Ketua Komunikasi Amanah Khalid Samad sebagai moderator.
Mohamad bagaimanapun berkata, jika rakyat masih memilih BN dalam pilihan raya akan datang walaupun kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terpalit dengan pelbagai skandal, tiada apa lagi yang boleh dilakukan selain berhenti daripada menyertai pilihan raya.
“Kalaulah macam Tony Pua terang tadi bagaimana wang kita dicuri, rakyat masih lagi hendakkan BN saya ingat tak payahlah kita berpolitik lagi di Malaysia ini,” katanya bersahaja lalu terus meninggalkan rostrum menyebabkan orang bersorak dan memberikan tepukan gemuruh.
Sebelum itu Tony menarik perhatian hadirin dengan penerangannya mengenai kronologi skandal 1MDB yang telah mendapat perhatian dunia termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).