Pas ambil haluan lain, rakyat Kelantan diseru pilih Pakatan Harapan


Pimpinan semua parti Pakatan Harapan hadir di majlis perasmian pejabat Bersatu negeri Kelantan di Kota Bharu pada JumaatPimpinan semua parti Pakatan Harapan hadir di majlis perasmian pejabat Bersatu negeri Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat
Gabungan empat parti Pakatan Harapan (PH) kini semakin jelas akan berhadapan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka semakin hampir.
Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata, rakyat perlu fokus untuk memilih sama ada masih bersama BN atau membina harapan baru bersama PH.
"Pas yang kini jelas mengambil laluan lain tentu tidak boleh lagi diharap," katanya ketika berucap di acara markas pilihan raya Amanah Dun Bunut Payong dalam parlimen Kota Bharu semalam.
Husam menaikkan belon gergasi di Bunut PayongHusam menaikkan belon gergasi di Bunut PayongPada majlis itu Husam merasmikan pasukan dikir barat Amanah Bunut Payong dan upacara menaikkan belon gergasi sebagai penanda markas berkenaan.
Dalam majlis perasmian pejabat parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pagi semalam kata Husam, telah jelas parti-parti dalam PH kini berada dalam satu gabungan mantap.
"Semua pemimpin Amanah, PKR, DAP dan Bersatu bersama-sama hadir di majlis pagi tadi dengan penuh yakin akan menawarkan pasukan baru untuk mentadbir negeri Kelantan.
"Dalam pilihan raya ini, saya menyeru seluruh rakyat memberi fokus untuk mengundi PH kerana dengan memberi undi kepada Pas, anda memberi peluang untuk BN kembali berkuasa," katanya.
Menurutnya kerajaan negeri selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz jelas menjadi pengekor kepada BN.
"Kerajaan pusat di bawah (Datuk Seri) Najib menggunakan kaedah memeras rakyat untuk menambah kekurangan wang negara yang diurus secara boros.
"Begitu juga kerajaan negeri ikut menaikkan pelbagai cukai seperti pasir, urusan tanah dan cukai bandaran," katanya.
Lebih teruk menurut beliau ialah masalah pentadbiran berkaitan Islam.
"Enakmen seperti pengurusan harta wakaf yang telah lama diluluskan di negeri-negeri lain tidak dihiraukan.
"Begitu juga masalah bangunan pentadbiran pejabat agama di jajahan-jajahan tidak dinaik taraf dan beroperasi dalam keadaan yang sangat daif.
"Sedangkan bayaran-bayaran (fees) yang dikenakan di negeri ini adalah yang tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain di seluruh negara," katanya.
Semua ini menurutnya ialah akibat kepimpinan yang mentadbir secara fikiran tertutup.
"Langsung tidak ada usaha untuk mencari sumber-sumber pendapatan lain walaupun negeri ini mempunyai pelbagai potensi untuk dijadikan pendapatan negeri dan rakyat.
"Baru-baru ini ada syarikat melombong emas yang mengeluarkan kenyataan tentang jumlah galian itu yang begitu banyak di negeri ini.
"Kita juga ada sumber tarikan pelancong yang besar jika dimajukan secara bersungguh-sungguh," katanya.

No comments: