1.6 juta penjawat awam gelisah dengan pentadbiran Najib Razak


KLANG, 15 APR: “Terdapat kegelisahan dan kesedihan yang meluas di kalangan rakyat termasuk 1.6 juta penjawat awam terhadap kerajaan UMNO-BN,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Justeru kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) diingat supaya tidak menakut-nakutkan rakyat dengan ugutan huru-hara, rusuhan atau melakukan sebarang tindakan tidak demokratik untuk menghalang kebangkitan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ini kerana PRU-14 dijangka akan memperlihatkan perubahan politik besar-besaran di Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.
“Untuk kekal berkuasa, UMNO-BN menggunakan pembohongan, politik ketakutan dan kebencian untuk mencipta ketakutan di kalangan rakyat khususnya kepada kaum Melayu dengan mendakwa jika UMNO tewas, maka orang Melayu akan hilang kuasa politik dan hak.
“Itu semua mengarut!” tegas beliau dalam dialog di Kota Alam Shah dekat sini semalam.
Menangkis segala propaganda jahat UMNO itu, Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut berkata Pakatan Harapan yang terdiri dari DAP, PKR, Parti Amanah Rakyat (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membentuk kerajaan perlu melaksanakan tugas dengan lebih baik daripada kerajaan sekarang.
“Ini termasuk melindungi hak dan kepentingan seluruh masyarakat di Malaysia termasuk kepentingan dan hak kaum Melayu,” tegas beliau.
“Sudah tiba masanya Malaysia menjadi sebuah negara demokratik yang normal di mana pengundi boleh menukar pemerintah dengan aman dan secara demokratik melalui peti undi.
“Ia telah terbukti di negara-negara demokrasi lain seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, negara-negara Eropah seperti German, Perancis, Itali malahan juga seperti beberapa negara asia seperti Jepun, Korea Selatan, India, Filipina dan Indonesia,” katanya lagi.