Speaker Parlimen tak benar Ahli Parlimen tanya tentang skandal 1MDB


lim kit siang
KUALA LUMPUR, 9 MAC: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, enggan membenarkan ahli-ahli Parlimen bertanya tentang skandal RM2.6 bilion dan 1MDB yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Sedangkan dalam sesi yang lalu, beliau tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen untuk membangkitkan isu berhubung skandal berkenaan.
Keadaan ganjil itu menyebabkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mempersoalkan sikap tidak konsisten Speaker Dewan, walaupun pihak parti pemerintah telah berjanji untuk bersikap terbuka dan adil.
Menurut Kit Siang, pada November tahun lalu, semua ahli Parlimen dan rakyat dijanjikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa kerajaan akan menjawab sebarang soalan berhubung skandal-skandal tersebut pada hari terakhir mesyuarat bajet pada 3 Disember.
Sejak mesyuarat Bajet bermula pada Oktober, tambah beliau, Azalina dilihat cuba mengelak dari menjawab soalan mengenai dua skandal mega melibatkan RM55 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
Katanya, pada 3 Disember, wujud dua kali tindakan untuk melarikan diri dari menjawab soalan berhubung dua skandal mega itu.
“Pertamanya, Najib tidak ada dalam dewan untuk berikan jawapan kepada ahli-ahli Parlimen dan rakyat.
“Keduanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pula mengambil masa tiga minit dan mengarut untuk menjelaskan bahawa beliau tidak boleh memberikan sebarang jawapan, yang mana pada waktu itu seluruh negara sedang menantikan jawapan sebenar yang dijanjikan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Dalam sesi Parlimen terbaru ini, Kit Siang berkata, Speaker Dewan Rakyat pula tidak membenarkan soalan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan berhubung skandal derma RM2.6 bilion Najib itu.
“Speaker perlu memuaskan hati ahli-ahli Parlimen dan orang awam, rakyat Malaysia kerana tindakan pilih kasih ini sangat tidak boleh diterima seolah-olah berada di barisan hadapan menyekat segala persoalan berhubung dua skandal mega Najib itu,” katanya lagi. – Roketkini.com

No comments: