‘Ekonomi akan jatuh jika Umno terus main sentimen perkauman’
Dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru sahaja selesai diadakan, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah membuat kenyataan bahawa Umno tidak akan membenarkan sistem dwi-parti.
Menurut beliau, kaum Melayu hanya ada dua pilihan iaitu samada memilih Umno atau pihak pembangkang yang didominasi DAP dan kalau Umno ditolak maka Malaysia akan dipimpin oleh puak yang menentang perjuangan Islam, perjuangan Melayu dan perjuangan Bumiputra (seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian, 11 Disember 2015).
Kenyataan tersebut memang dengan jelas menggambarkan bahawa beliau masih meneruskan agenda perkauman dan mangsanya ialah DAP.
Bagaimanapun, rakyat tidak bersetuju dengan pendekatan Najib dan Umno kerana sejak pilihan raya umum 2008 tembok perkauman telah dihancurkan oleh Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Gabungan parti-parti pembangkang menjanjikan Malaysia yang lebih saksama kepada semua kaum.
Tinjauan Suara pakatan daily kepada rakyat marhaen mendapati agenda Umno memainkan sentimen kaum dan agama dianggap jijik oleh rakyat tanpa mengira bangsa.
“Agenda yang rasis masih menebal di kalangan ahli Umno,” kata Raja Gopal, seorang pemandu van berusia 43 tahun sementara rakan sekerjanya Ramli, berusia 25 tahun berkata bahawa Umno takut rakyat akan mengundi Pakatan disebabkan kos sara hidup yang asyik meningkat.
Mereka berpendapat, sekiranya pemimpin negara terus mengamalkan sikap perkauman maka pelabur asing, terutamanya dari negara Barat akan terus keluar dan yang paling merana adalah rakyat yang kekurangan peluang pekerjaan dalam masa terdekat.
Mereka berkata, kalau pemimpin negara terus berdegil dengan sikap perkauman maka tidak lama lagi akan lebih ramai pelabur asing menarik keluar modal.