MIC bergolak lagi, orang luar campur tangan


Oleh  webmaster


Bekas bendahari agung MIC mendakwa, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel tidak bertindak bersendirian dalam memimpin parti itu, tetapi turut diikuti isterinya Datin Seri Kanagam.

Datuk R Ramanan, yang juga bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkata, lebih banyak bukti dan pendedahan akan dilakukannya selepas ini mengenai dakwaan yang dilemparkannya itu.

"Kesetiaan saya membuta tuli. Apa juga arahan yang diberikan, saya lakukannya," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat MIC hari ini.

"Saya menerima arahan daripada dua pihak – presiden dan 'suaminya'," katanya dengan nada sinis.

Ramanan turut mempersoalkan kehadiran Kanagam dalam pemilihan MIC tahun lalu yang mengundang pelbagai tanda tanya.

Katanya, pihak yang berkaitan dengan Kanagam turut berada di dalam bilik itu setelah dipilih sebagai agen mengira undi.

"Apa yang dibuatnya di bangunan pemilihan? Bagaimana dia mendapat pas masuk ke bilik itu dan mengira undi?

"Soalan itu harus diajukan kepada Palanivel yang merupakan pengerusi pemilihan," katanya.

Beliau turut mendakwa Kanagam mengedarkan senarai nama pilihan presiden kepada perwakilan.

Katanya, peti undi juga tidak berada di Ibu Pejabat MIC pada hari sebelumnya, tetapi dikawal Senator V Subramaniam.

"Saya tanya mereka, dari mana senarai ini datang, mereka menjawab dari Kanagam," katanya.

Ramanan, Tan Sri Dr KS Nijhar dan Datuk KS Balakrishan pada 3 Januari dikeluarkan pimpinan parti dari menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.

Tempat mereka diambil alih Pengerusi MIC Pulau Pinang Karuppanan Malairaja, Pengerusi MIC Kedah Datuk Ganesan Subramaniam dan Pengerusi MIC Bahagian Kapar, Ganesan Thankaveloo.

Ramanan sebelum ini berkata, beliau percaya keputusan itu dibuat kerana kelantangannya mendesak parti mengadakan pemilihan semula sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah dengan pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pada 5 Disember 2014, RoS mengisytiharkan pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC serta beberapa pemilihan bahagian sebagai tidak sah kerana terdapat penyelewengan dan menasihati MIC tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu itu diselesaikan.

ROS juga mengarahkan supaya pemilihan semula bagi jawatan berkenaan diadakan dalam tempoh 90 hari.