Tamrin keluar PAS, rehatkan Hadi sebelum terlambat

oleh; amirulmukminin
Bagi pimpinan ulama  PAS tidak menjadi apa-apa masalah apabila anak Ghafar Baba,  Tamrin Abdul Ghafar meninggalkan parti itu.

Malah mereka juga tiada masalah jika Muhammad sabu, Salahudin Ayub, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkifly dll menarik diri dan menyertai parti lain. Bagi ulama semua itu proses penyucian parti dan yang tinggal kelak adalah yang walak kepada presiden.

Inilah mentaliti yang melanda PAS hari ini. Suatu parti yang sejak 1998 dilihat akan menjadi mainstream di Malaysia tetapi dalam tiga bulan kebelakangan ini bergerak ke arah ekstremisme perkauman dan agama. Pemujaan melampau kepada pemimpin sehingga ke tahap tidak boleh dikritik.

Tindakan Tamrin meninggalkan PAS jelas suatu protes tidak bersetuju dengan keputusan Presiden Hadi Awang yang terlalu mengikut kumpulan sayap kanan PAS menyokong Khalid Ibrahim sehingga memusuhi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Hadi sengaja menutup semua pemikirannya terhadap kebaikan pemimpin parti lain yang ‘sekular’. Apabila dua Adun PAS Saari Sungip dan Hasnul Baharuddin menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah sebagai MB baru Selangor pada 14 Ogos maka Hadi dan sayap kanan PAS mengamuk.

Tak mahu ambil tahu


Kononnya mereka tidak dirundingi. Mereka telah pun diberitahu banyak kali akan kelemahan Khalid Ibrahim tetapi sengaja tidak mahu mempercayainya sehinggalah PKR dan DAP melakukan tindakan secara bersepihak dalam mengganti MB Selangor.

Sikap Hadi ini mengingatkan cerita kelemahan pentadbiran beliau di Terengganu pada 1999 – 2004. Walaupun Hadi bergelar MB tetapi keputusan penting banyak pengaruhi exco beliau. Hadi pernah diberitahu PAS akan menghadapi masalah dalam pilihan raya umum 2004 namun beliau tidak serius bermuhasabah dan mengkaji kelemahan PAS Terengganu. Sehinggalah PAS kehilangan negeri itu. Selama sedekad kemudian rakyat masih tidak mempercayai PAS mampu mentadbir Terengganu dengan baik dan terus mengundi BN.

Sikap Tamrin jelas. Sebagai seorang yang pernah berjuang dalam arus perdana politik tanah air, menjadi Adun, ahli parlimen dan Pengerusi MARA; ayat serta hadis jangankah digunakan untuk menyelewengkan logik akal beliau.

"Pada saya, tindakan PAS itu amat salah. Apa yang mereka (Saari dan Hasnul) buat adalah mempertahankan keputusan muktamar PAS, iaitu mesti bersama dengan Pakatan Rakyat (PR).

"Tetapi PAS bertindak sebaliknya. Dua Adun ini mengambil keputusan menentukan PAS bersama PR, itu saja. Jadi apa salahnya?" katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Gerakan Anti Perkauman (GAP) di Kelab Sunway Lagoon di Petaling Jaya, 10 Oktober lalu.

Tamrin  terlalu berpengalaman dalam politik dan tahu apakah akibatnya jika dua Adun PAS itu tidak berpaling kepada Azizah pada 14 Ogos lalu. Sebelum itu, bukankah puak sayap kanan PAS telah menangguhkan mesyuarat AJK PAS Pusat membincangkan perlantikan MB baru Selangor dari tarikh 10 Ogos ke 17 Ogos dan kemudian mahu menangguhkannya lagi?

Tiada sebarang sebab berlakunya penangguhan melainkan PAS sedang berunding untuk sesuatu usaha yang boleh terjejas jika ketetapan dibuat dalam mesyuarat sebelum rundingan itu selesai. Pada 11 Ogos, Khalid Ibrahim bertemu sultan Selangor dan mempersembahkan majoriti yang berada di pihaknya. Dari manakah Khalid mendapat majoriti?. Tentu sekali dengan sokongan Adun Umno 12 kerusi, PAS 15 kerusi dan Khalid Bebas 1 kerusi.

Di sini jelas tindakan dua Adun itulah yang menyebabkan Pakatan Rakyat terus memerintah Selangor. Sekiranya mereka walak kepada Hadi dan puak UG maka sehingga hari ini kerajaan Selangor adalah PAS + Bebas + Umno.

Namun puak UG PAS membalas dendam kepada kedua mereka kerana mengakibatkan parti itu tidak lagi dapat memegang banyak kuasa apabila Azmin Ali dari PKR dilantik menteri besar baharu.

Selain itu, Tamrin juga berkata kepada The Malaysia Insider, bukan saja krisis Selangor yang mendorongnya meninggalkan PAS tetapi juga beberapa pandangan mengenai isu lain yang pernah dikemukakannya kepada pemimpin PAS, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak diambil peduli.

"Sebelum itu, masalah Pilihan Raya Umum (PRU) begitu juga.

"Ada beberapa perkara yang gagal ditunaikan PAS semasa menabur janji PRU13 lalu. PAS mungkir janji. Itu bukan stail politik saya," katanya.

Beliau berkata, dirinya juga kecewa kerana pemimpin PAS gagal menunjukkan contoh imej sebuah parti Islam yang baik.

"Saya tidak ada masalah dengan PAS. Parti tidak tersasar daripada landasannya, cuma pemimpinnya saja yang lari daripada perjuangan asal.

"Siapa pemimpin itu? Ianya jelas," katanya.

Berkemungkinan besar Tamrin merujuk kepada Hadi yang tidak melayan banyak masalah dalaman parti itu secara matang dan rasional. Oleh yang demikian, ahli PAS dan pemimpin yang lebih realistik perlu bertindak segera agar tidak berlaku gelombang penarikan diri yang lebih besar dalam kalangan ahli profesional PAS.

Gantikan Hadi


Jika Hadi perlu digantikan pada pemilihan akan datang maka ahli PAS perlu bertindak tegas menggantikan beliau. Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man boleh diangkat untuk menentang Hadi dalam pemilihan presiden tahun hadapan.

Sebagai bekas pensyarah kanan UiTM, Tuan Ibrahim dilihat berfikiran jauh lebih terbuka dan beliau juga masih muda serta mampu menyelami denyut nadi golongan muda parti. Tuan Ibrahim juga tidak terlalu berpihak kepada mana-mana puak. Beliau boleh memimpin PAS secara lebih sederhana dan meraikan pendapat aliran profesional dalam parti.

PAS yang tidak melakukan perubahan dalaman akan ditolak oleh rakyat dalam PRU ke 14. Setakat ini sokongan dari masyarakat bukan Islam amat kritikal kepada parti itu. Mereka mula melihat agenda kemelayuan PAS menyamai Umno dan tidak banyak gunanya mengundi PAS yang bersikap ekstrem Melayu.

Sekiranya PAS memegang kuasa maka mereka akan bergerak ke satu arah yang belum pasti iaitu perlaksanaan Hudud. Adakah tempias undang-undang Islam akan mengurangkan aktiviti harian mereka? Dengan kedegilan PAS berunding bersama parti-parti Pakatan yang lebih sederhana, masyarakat bukan Islam kembali selesa untuk bersama Umno.

Sekurang-kurangnya ekstremisme Umno hanya berlaku apabila mereka lemah. Ketika mereka kuat diapit MIC dan MCA maka pemodal Cina mudah mengambil alih tanah-tanah Melayu untuk ditukar menjadi kawasan perumahan, mereka bebas minum arak, malah berpesta-pestaan seperti Oktoberfeast pun tidak menjadi masalah bagi Umno ketika Pakatan belum memerintah Selangor.

Situasi inilah yang perlu ditangani PAS menuju PRU 14. Salah langkah, dengan mengekalkan Hadi Awang dan barisan kepimpinan aliran keras, parti itu hanya menempah ajal di Pantai Barat. PAS yang telah diterima baik akan hilang kembali penguasaan seperti 1980an.

Dan pastinya kekecewaan kerana kalah itu akan membuatkan lebih banyak tokoh-tokoh masyarakat yang menyertainya akan meninggalkan parti itu. PAS akan kembali terpencil.

No comments: