BAJET 2015: Bina lapangan terbang Gerik, bagaimana di Pangkor?

oleh amirulmukminin
Pemuda PAS Perak tidak menafikan kepentingan dan usaha untuk menarik pelancong terutamanya yang melalui hab pengangkutan udara sebagai pintu masuk ke Negeri Perak untuk melawat dan melancong khasnya di Hutan Royal Belum, Gerik melalui satu peruntukkan Bajet tahun 2015 yang telah diberikan sebanyak RM 15 Juta bagi tujuan menaik taraf Lapangan Terbang Gerik di dalam Perbentangan Bajet baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak YM Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, kerajaan Perak tidak memberi kepastian bagaimanakah pula nasib Lapangan Terbang Pangkor yang juga perlu dimanafaatkan atas faktor yang sama iaitu sektor pelancongan.

“Kami sedikit hairan, apakah perancangan sebenarnya Kerajaan Negeri Perak yang memfokuskan usaha menaik taraf Lapangan Terbang Gerik yang sebenarnya terdapat pilihan pintu masuk menggunakan laluan udara seperti Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang sedia ada ataupun yang juga hampir iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang turut menjadi pilihan dengan kemudahan yang tersedia. Adakah dengan menaik taraf Lapangan Terbang Gerik ini sebagai salah satu langkah atau usaha ‘menyekat’ perancangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim Bandar Baharu, Kedah yang bersempadanan dengan Negeri Perak?

“Kami melihat tiada perancangan yang benar-benar disusun dengan baik mengikut keperluan yang sebenarnya bagi usaha menaik taraf Lapangan Terbang Gerik tersebut. Sebenarnya Lapangan Terbang Pangkor sewajarnya didahulukan kerana ianya paling utama dan sesuai disebabkan ianya berada di sebuah pulau serta di seberang laut yang amat memerlukan.
"Kami bimbang usaha menaik taraf Lapangan Terbang Gerik nanti ibarat sebuah projek ‘gajah putih’ jika tiada perancangan rapi dan tersusun dilaksanakan. LTSAS juga masih belum mampu ’bernafas’ dengan baik dan teratur, bagaimana pula dengan perancangan lainnya. Kami tidak hanya mahu mengkritik semata-mata, tetapi kami mahukan agenda rakyat di atas peruntukan yang digunakan akan kembali semula kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.