Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta jentera pilihanraya Pakatan Rakyat Selangor berjaga-jaga dan mengambil perhatian terhadap amaran yang dilaungkan oleh Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang bahawa taktik UMNO merampas Terengganu pada tahun 2004 akan berulang di negeri Selangor pada PRU ke-13 kali ini.
DPPM melihat kenyataan Presiden PAS (gambar kiri) seperti menggambarkan apa yang bakal berlaku di Selangor pada PRU ke-13. Sudah tentu, Presiden PAS tidak akan mengutarakan kebimbangan ini jika tidak ada sumber maklumat yang diterima olehnya. Pasti beliau mengetahui bahawa UMNO-BN sedang merancang penipuan besar-besaran ala-Terengganu 2004 dahulu. DPPM juga dapat merasakan penipuan kali ini adalah penipuan yang paling besar dalam sejarah negara yang akan menghitamkan seluruh nilai demokrasi di negara ini.
Bagi DPPM, perkara ini tidak mustahil akan dilakukan oleh BN memandangkan Selangor adalah "lubuk kemewahan" buat mereka. Mereka terlalu mengidamkan Selangor sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kembali negeri itu. BN rela hilang negeri-negeri lain asalkan Selangor mereka berjaya dapatkannya kembali.
Dengan beberapa siri pendedahan yang dibuat membuktikan bahawa suatu "grand design" sedang dirancang bagi merealisasikan hasrat mereka itu. Ini termasuk pendedahan mengenai kewujudan task force pemberian kad pengenalan kepada warga asing, pertambahan undi mendadak di beberapa buah Parlimen dan DUN khususnya di kawasan yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, pertukaran tempat mengundi, kad pengenalan klon, dan lain-lain lagi. DPPM menjangkakan dengan tindakan sedemikian tidak mustahil keputusan PRU 13 nanti akan menyaksikan suatu fenomena luar biasa iaitu penambahan undi yang mendadak dan melampau di banyak kawasan di Selangor.
Mungkin bagi BN, mereka tidak peduli hilang sokongan rakyat terhadap mereka, serta tidak kisah jika mencabuli prinsip demokrasi di negara ini. Yang penting mereka boleh merampas kerajaan yang diangkat oleh pengundi yang sah di negara ini. Jika kerajaan Perak yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya juga dikhianati dengan merampasnya sesuka hati, bagaimana pula dengan kerajaan Selangor yang memiliki segala-galanya itu.
Usah dihairankan apabila keputusan pilihanraya nanti menjadikan seolah-olah pengundi Selangor memilih untuk membayar bil air bulanan berbanding air percuma 20 meter padu yang mereka nikmati pada hari ini. Agak memeranjatkan apabila keputusan pilihanraya mewujudkan suatu persepsi seakan-akan anak-anak muda menolak penghapusan PTPTN dan memilih untuk membayarnya kembali. Atau rakyat memilih pemimpin yang korup dan rasuah daripada pemimpin yang bersih dan mengutamakan rakyat. Semua ini adalah "magik" yang akan dicipta dalam PRU ke-13 di Selangor.
Baca: Khir Toyo nafi "Operasi Terengganu" di Selangor
*Kenyataan media oleh Riduan Mohd Nor selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.