Tuduh Seleweng RM55 Juta : Sengaja Calar Imej Penjawat Awam




SHAH ALAM, 18 OKTOBER : Tuduhan seorang bekas menteri Datuk Seri Mohd Zin Mohamed yang mendakwa kononnya baki peruntukan penyelenggaraan pada 2009 berjumlah RM55 juta telah dilesapkan bertujuan untuk mencalar kewibawaan dan kredibiliti kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri memandang serius tuduhan berkenaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh serta media yang sewenang-wenangnya menyiarkan tuduhan tidak berasas berkenaan.

"Lebih dari itu, kita merasakan tuduhan ini turut menghina penjawat awam yang bekerja keras bagi memastikan dana negeri diurus dengan baik dan profesional," katanya dalam kenyataan media.

Menurut Menteri Besar, amanah rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dan bekerja keras untuk memastikan amanah rakyat dilaksanakan dengan sebaiknya dan penuh tanggungjawab.

"Justeru, saya telah memanggil Pegawai Kewangan Negeri, Bendahari Negeri, Juruaudit Persekutuan dan Juruaudit Negeri, Jurunilai Jabatan Kerjaraya dan beberapa akauntan kanan bagi mengutarakan serangan yang cuba dikenakan terhadap mereka serta pegawai kerajaan secara amnya.

"Saya telah dimaklumkan bahawa, perjalanan kewangan di Negeri Selangor berdasarkan Pekeliling Perbendaraan yang digunakan pakai di seluruh Malaysia. Pada 27 Februari 1993, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara telah memutuskan mulai 1994, semua kerajaan negeri hendaklah mewujudkan satu Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri yang mana semua pemberian ini dicarum terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah tersebut dan semua perbelanjaan direkodkan," ujar Abdul Khalid.

Tambah Abdul Khalid lagi, Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri dengan kod perakauanan 60002 bagi mengakaunkan terimaan dan bayaran pemberiaan Penyelenggaraan Jalan Negeri.

Justeru, penggunaan peruntukan MARRIS oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh Arahan Amanah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri.

Pada 2009, kerajaan negeri menerima RM315,627,905.00 Peruntukan Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan dengan purata terimaan RM26 juta sebulan.

Sejumlah RM328,751,219.30 telah digunakan pada 2009 iaitu pembayaran terus melalui Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri berjumlah RM78,751,219.30 dan pindahan kepada Akaun Hasil Disatukan Penyelenggaraan Negeri Selangor berjumlah RM250 juta.

Baki Akaun Amanah Penyelenggaran Jalan-jalan Negeri pada 1 Januari 2009 ialah RM67,533,879.91 dan baki pada 31 Disember 2009 adalah RM54,410,565.61. Baki ini kemudian dibawa ke tahun 2010.

"Perincian ini jelas menunjukkan perjalanan dana ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan Negara. Malah, perjalanan dana ini di Negeri Selangor telah diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2009 dan sepatutnya tidak dipertikaikan lagi," katanya.

Menurut Abdul Khalid, sebagai bekas menteri, Md Zin sepatutnya tidak membuat tuduhan melulu tanpa membuat sedikit kajian tentang perjalanan perakaunan negeri.

"Jelas beliau sememangnya tiada langsung pengetahuan asas dalam perakaunan. Kedangkalan pengetahuan beliau dan ditambah pula dengan tujuan politik, beliau telah memperkecilkan kebolehan penjawat awam menjalankan tugas untuk memastikan dana diurus dengan baik," katanya.

No comments: