KUALA LUMPUR 8 OGOS : Keputusan usul Pakatan Rakyat agar diadakan sidang parlimen tergempar akan diketahui selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengemukakan usul tersebut kepada perdana menteri petang ini.
Nazri yang menerima usul daripada wakil ahli parlimen Pakatan Rakyat berkata, beliau tidak boleh memberi sebarang kata putus sebelum berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak bersabit usul tersebut.
“Apa pun saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri dahulu dan setelah berbincang dengan Perdana Menteri, baru kita akan berikan respons.
“Saya tidak boleh mendahului Perdana Menteri dalam hal ini,” katanya.
Usul itu mendesak agar diadakan sidang parlimen tergempar bagi membahasakan isu pendatang asing yang baru sahaja mendapat status Penduduk Tetap (PR), dalam masa singkat memperolehi status warganegara, yang membolehkan mereka menjadi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Usul tersebut diserahkan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof.
“Saya telah dihubungi Yang Berhormat Salahuddin Ayub tentang perkara ini dan saya difahamkan satu memorandum mahu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan saya bersetuju untuk menerima bagi pihak Perdana Menteri.
“Petang ini, saya akan hadir di satu majlis berbuka puasa bersama perdana menteri, insya-Allah saya akan sampaikan memorandum ini kepada perdana menteri petang ini,” katanya.
Beliau juga tidak memberikan sebarang jawapan mengenai desakan Pakatan Rakyat agar sidang tergempar Parlimen itu diadakan dalam tempoh tujuh hari.
Keperluan mengadakan sidang parlimen itu begitu mendesak ekoran Pakatan Rakyat mendapati sejumlah pemilih yang disenaraikan di dalam Rang Daftar Pemilih
Tambahan (RDPT) bagi suku ke- 2 tahun 2011 adalah berstatus Peduduk Tetap (PR), bukannya warganegara.
Namun carian semula beberpa jam kemudian di dalam talian Jabatan Pendaftaran negera (JPN) menunjukkan mereka telah menjadi warganegara secara tiba- tiba.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Terlebih dahulu, Salahuddin dalam sidang media berkata pihaknya serius untuk menyelesaikan perkara itu yang disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara.
“Kami mahu sidang tergempar Parlimen diadakan dalam tempoh tujuh hari, kita tidak boleh tunggu untuk sidang seterusnya pada Oktober.
“Kami ada bukti bahawa perkara ini berlaku dan kami mahu perdana menteri bertanggungjawab dan komited untuk membersihkan daftar pemilih,” katanya.
Kenyataan Salahuddin disokong Mahfuz Omar yang turut menyatakan kebimbangannya bersabit perkara itu, yang padanya akan mengancam kedudukan Majlis Raja-raja
dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia juga melibatkan hal keselamatan negara, bagaimana warga asing boleh diberikan taraf kewarganegaraan dalam tempoh yang singkat? Bukan boleh beri kepada semua orang, mereka tidak membantu memajukan negara.
“Ia akan mengancam kedudukan Majlis Raja-raja... mereka juga tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.