Selangor Bakal Peneraju Pilihan Raya Tempatan.


SHAH ALAM 9 OGOS : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik cadangan kerajaan Selangor melaksanakan pilihan raya bagi melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tiga perkampungan Cina akhir bulan ini.

Menurut koordinatornya, Sarah Devaraj pemilihan ketua kampung menerusi kaedah tersebut membantu menyuburkan amalan demokrasi tulen di peringkat akar umbi.

Beliau yakin kaedah pilihan raya mampu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih sendiri pemimpin di kawasan mereka berbanding Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang dilantik terus oleh kerajaan Umno- Barisan Nasional (BN).

"Kami menggalakkan Kerajaan Negeri Selangor mengekalkan momentum untuk perubahan demokratik dan terus meneroka cara-cara untuk mengadakan pilihan raya bagi kerajaan tempatan," ujar beliau dalam kenyataan media.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 ribu bagi mengendalikan pilihan raya JKKK di tiga kampung merangkumi Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat, Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang.

Ketiga- tiga kampung ini dipilih sebagai perintis bergantung kepada saiz kepadatan penduduk.

Kampung Bagan di Pulau Ketam mempunyai kepadatan penduduk yang kecil, manakala Kampung Baru Sungai Jarom pula mempunyai kepadatan penduduk yang sederhana dan Kampung Baru Pandamaran mempunyai jumlah penduduk yang besar.

Pilihan raya Kampung Baru Sungai Jarum ditetapkan pada 24 Julai, sementara Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang, masing-masing pada 31 Julai dan 7 Ogos depan.

Selangor mempunyai 368 kawasan perkampungan Melayu dan 78 kawasan perkampungan Cina.

Pemilihan Pengerusi JKKK itu sama seperti pilihan raya biasa yang diadakan di DUN dan Parlimen seperti wujudnya pengeluaran writ, hari penamaan calon, RM500 deposit semasa kempen, waktu pengundian, keputusan, serta petisyen bantahan.
Sarah menjelaskan cara tersebut mampu menggalakkan penduruk kampung untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam isu-isu masyarakat setempat.

Beliau kemudian menggesa kerajaan Umno-BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan retorik ketakutan dalam usaha mereformasikan sistem pilihan raya umum termasuk penggunaan dakwat kekal.

Justeru beliau dengan lantang menyeru agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi kerajaan Selangor dengan mempertimbangkan tuntutan rakyat bersabit perlantikan pengerusi JKKK seraya menolak kaedah JKKP yang menjulang perlantikan berkepentingan politik.

No comments: