Azmin : Kecam Tapi Rompak Dasar Buku Jingga






GOMBAK 18 MEI: Selepas mengecam dan memperlekehkan dasar Buku Jingga, kini pendekatan ekonomi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat mirip polisi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

Ini dibuktikan melalui pengenalan kepada lima skim kenaikan pangkat guru-guru pada awal tahun hadapan selain pemansuhan tol Link Timur-Barat yang menghubungkan Cheras dan Petaling Jaya.

Dalam masa yang sama, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak itu dilihat bergelut untuk mengimbangi defisit negara tanpa membebankan rakyat.

Namun menerusi urus tadbir yang goyah kerajaan pusat terpaksa mengorbankan kepentingan rakyat apabila mengumumkan penarikan subsidi diesel negara untuk sembilan kategori kenderaan komersial bermula 1 Jun nanti.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang ditemuramah Tv Selangor menyifatkan pendekatan ekonomi kerajaan pusat sebelum ini terlalu bergantung kepada syarikat-syarikat utama yang dijangka dapat menampung kewangan negara.

Menurutnya, ternyata usaha pembekalan subsidi berbilion ringgit kepada syarikat proksi Umno-Barisan Nasional (BN) memberi unjuran negatif kepada ekonomi rakyat yang memerlukan tindakan penstrukturan semula.

"Persoalannya mengapa subsidi untuk taukeh besar dan syarikat gergasi khususnya syarikat Penjana Kuasa Bebas (IPP) masih mendapat subsidi lebih RM 20 bilion daripada kerajaan pusat.

"Sedangkan subsidi untuk rakyat itu ditarik balik. Maknanya Umno-BN lebih pro kepada taukeh-taukeh besar dan kroni mereka dan tidak pro kepada rakyat majoriti," jelas beliau kepada Tv Selangor.

Najib dalam lawatannya ke London kelmarin mengumumkan penarikan subsidi diesel berikutan kenaikan harga minyak antarabangsa sekaligus mengakui gagal mengawal defisit negara.

Katanya kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit negara kepada 5.6 peratus dan turun kepada 2.8 peratus menjelang 2015 untuk memastikan kerajaan Umno-BN diangkat semula menjelang pilihan raya nanti.

Malahan tambah Timbalan Presiden PKR itu, serangan yang dikenakan terhadap pengenalan Buku Jingga sebelum ini dirompak sepenuhnya oleh kerajaan Umno-BN untuk dijadikan dasar ekonomi negara.

"Bagi saya, tiada masalah, saya terima baik. Ini satu persaingan yang baik asalkan ianya memberi keuntungan kepada rakyat tetapi jangan mengambil sikap sombong dan angkuh dengan menolak dasar-dasar yang kita cadangkan dalam Buku Jingga dan hari ini mereka pula meniru langkah-langkah yang diambil Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan harus memberi fokus kepada penyelesaian jangka panjang agar penarikan subsidi bahan keperluan rakyat tidak akan berlarutan.

Beliau yang ditemui selepas program bertemu rakyat di Hulu Kelang turut menyarankan agar kerajaan melihat secara komprehensif dasar-dasar keterbukaan selain mengikis penyelewengan dan ketirisan wang negara.

"Asalkan ianya memberi manafaat kepada rakyat, kita boleh terima cuma masalahnya penyelesaian jangka panjang itu harus diteliti. Mereka tidak boleh berterusan menaikkan harga minyak kerana ianya akan membebankan rakyat majoriti," katanya.

No comments: