1Melayu 1Bumi Cabaran Buat Najib - Shamsul


SHAH ALAM 23 APRIL : Cadangan Utusan Malaysia supaya diwujudkan gerakan 1Melayu 1Bumi adalah satu cabaran kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata pendirian Najib yang juga presiden UMNO akan teruji berikutan pemimpin itu lantang melaungkan slogan 1Malaysia, yang kononnya menjamin hak semua kaum dinegara ini.

Najib sebelum ini berkata cadangan 1Melayu 1Bumi itu bukan pandangan kerajaan tetapi beliau tidak menyatakan pendiriannya sebagai presiden parti perkauman itu.

Shamsul menegaskan cadangan yang dikemukakan Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan amat merbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Saya ingin cabar Najib kalau betul dia pegang pada prinsip 1Malaysia Najib mesti berbuat sesuatu dan ambil tindakan kepada mana- mana media yang cuba untuk mengeruhkan hubungan diantara kaum di Malaysia.

"Ini satu perkara yang cukup penting kerana keamanan dan pembangunan di negara ini tentunya tidak boleh berjalan dengan baik kalau berlaku ketegangan di antara kaum. Ini yang cuba dilakukan Umno itu sendiri,” ujar Shamsul.

Isu 1Melayu 1Bumi ini timbul sebaik sahaja tamat pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan sokongan padu kaum Cina terhadap parti DAP yang juga parti kompenan Pakatan Rakyat.

BN yang gusar dengan sokongan tidak berbelah bahagi ini secara tergesa- gesa mencadangkan 1Melayu 1Bumi yang mengajak kaum Melayu bersatu hanya kerana mahu menandingi perpaduan kaum lain, bukannya berpaksi kepada kesedaran bersatu- padu demi kesejahteraan negara.

“1Melayu 1Bumi bercanggah dengan prinsip 1Malaysia," katanya.

Shamsul menolak dakwaan UMNO BN bahawa bukan kaum Cina sahaja yang bangkit menolak parti perkauman itu, tetapi turut melibatkan semua kaum.

“Saya ingin betulkan beberapa tanggapan yang menyatakan hanya masyarakat Cina sahaja yang bangkit tetapi sebenarnya kalau kita teliti secara mendalam sokongan kaum- kaum di Sarawak itu ianya bukan sekadar masyarakat Cina, kebangkitan yang begitu ketara di kalangan orang Melayu di kalangan orang Iban, Dayak, Ulu dan tentunya masyarakat Cina,” katanya

No comments: