Filem Omega yang tercicir...

Hishamuddin Rais
Apr 21, 11



Aku tercari-cari alamat tempat yang aku tuju. Agak susah juga kerana aku kurang arif dengan daerah ini. Aku meleser sambil mata aku memandang ke angka rumah rumah kedai yang sedang aku cari. Dua tiga ekor anjing berkeliaran di jalan.

Kebanyakan angka rumah kedai ini telah rahai. Dua kali aku mundar-mandir di lorong yang sama. Nah! Tak berjumpa dengan bangunan yang aku cari. Yang aku nampak hanya perempuan-perempuan cun berbaju ketat, bergincu merah, ranggi dan bergetah berdiri di tepi pintu.

Perempuan-perempuan ini memerhatikan aku. Aku menjual senyum. Seorang Minah melambai. Aku nekad dan memberanikan hati untuk datang bertanya. Minah ini terus ke gigi jalan meninggalkan yang lain. Kemudian aku membuka mulut untuk bertanya: Di mana Galeri le Atalier?

"Abang nak buat apa? Nak buat filem ke?" Suaranya garau dan kasar seperti suara Mat Indon dari Jawa Tengah yang telah sepuluh tahun menetap di Kuala Lumpur. Tersirap darah jantan aku. Astaga! Purtan rupa-rupanya.

Aku menganggukkan kepala. Lalu Si Purtan ini menunjuk bangunan yang sebenarnya tak jauh dari tempat aku berdiri. Si Purtan ini menghulurkan kad niaganya kepada aku. Aku mengambil dan berterima kasih. Kad ini aku simpan ke dalam saku baju. Aku berjalan menuju ke bangunan itu.

Aku menaiki tangga ke tingkat satu. Nampaknya aku sampai ke tempat yang betul. Tetapi kerusi penyambut tamu kosong. Maka aku duduk keseorangan. Aku memerhatikan sekeliling. Saheh tak ada orang. Sekali lagi kepala aku berpusing untuk melihat kalau kalau ada anjing di bilik ini. Sifar.

Tetiba aku terdengar suara kasar dari bilik sebelah ruang tamu. Aku memasang telinga. Kini aku betul-betul macam Mat Skodeng Jawi sedang mengintai di tepi Tasek Perdana Bangi.

"Kau tahu… aku dapat panggilan telefon... bukan sekali... tiga kali... semua dah kantoi. Ini kerja kaulah. Berapa juta duit kau dah kelepet...? Belanja mahal tapi kerja tak rapi. Apa kau ingat orang Malaysia bodoh macam orang Gombak?' Suara lelaki ini kuat dan kasar.

"Apa hal dengan Gombak pulak?" jawab suara lelaki yang agak halus.

"Gombak tempat kamu buat post-productionkan? Bukan aku tak tahu. Kau buat recording pun di sana. Kau kelentong buat di LA. Hei… dengan aku kau jangan nak kelentong."

"Jangan putar alamlah. Jawab soalan aku ini. Siapa pilih pelakon itu? Tak ada pelakon lain ke? Bila tayang dalam YouTube semua orang ketawa. Kau ingat orang Malaysia bodoh..senang ditipu. Pelakon itu boroi. Sejak bila boroi. Kau ingat ini main-main ke? Cuba kau tengok sekali lagi..pasang VCD aku nak tunjuk.'

Aku di ruang tamu mula tersenyum ketika memasang telinga. Bilik senyap - mungkin VCD sedang berputar. Tujuan aku datang ke sini bukan nak dengar orang bergaduh. Aku datang untuk melamar kerja. Aku difahamkam Galeri le Atalier ini memerlukan tenaga untuk pembikinan filem.

"Henti ..henti... Siapa Mamat ini? Apa sebab dia muncul dalam filem ini. Perut pun boroi. Dia ingat dia Alfred Hitchcock. Pengarah nak kena ada dalam filem?" Suara jantan ini makin marah.

"Tak dapat potong yang ini... itu pasal si pengarah itu masuk dalam frame. Kalau potong nanti orang ingat tak ori.'

Baru aku sedar rupa-rupanya Galeri le Atilier ini yang telah membuat filem Tiga Mat Boroi. Wow! Baru aku tahu rupa-rupa di sini sarangnya. Aku merasa begitu gembira kalau aku dapat bekerja dengan le Atalier ini. Le Atalier ini memang gedebe. Dari apa yang aku dengar filem-filem mereka cukup hebat.

Aku dengar juga mereka telah berjaya membuat filem Pontianak Menyundal Di Kalimantan. Dari desas-desus aku mendengar yang syarikat ini juga sedang merancang untuk membuat 'Jangan Tinggalkan Jandaku'. Mungkin inilah projek yang mereka hendak aku turut campur.

"Kau kenal Datuk SK… Kenapa dia buat heboh di akhbar katakan laci bilik hotel berkunci. Gila… mana orang nak percaya. Guna otak..guna otak..Mana pernah laci dalam bilik hotel berkunci. Kalau nak menipu… tipu betul-betul. Laci bilik hotel yang ada kelas tak berkunci… "

Senyap sebentar kemudian lelaki bersuara halus menjawab: "Itu saya tak tahu. Krew saya hanya diupah untuk membuat filem ini saja. Hal mengedar saya tak tahu."

Tanpa aku sedari tetiba tiga lelaki tercegat berdiri tak jauh dari tempat aku duduk. Aku tak sedar bila mereka sampai. Mereka tersenyum dan terus mengambil tempat duduk.

Lelaki yang duduk di sebelah aku menghulur tangan untuk bersalam. Aku menyambut Dia terus bersuara: “ Datang nak casting ke? I dengar dia orang nak buat satu gambar baru. Producer sedang cari pelakon. You berlakon ke?'

Aku mengeleng kepala.

"You nak mengarah ke? I dulu kerja dengan Um. I buat 16 siri untuk dia. Yang dua lagi tu kawan I yang berlakon. Lapan belas semuanya. Tapi satu pun belum tayang. Dengar khabar Jawi belum luluskan. Kerana dalam babak makan… tak seorang pun baca bismilah. Pasal ini Jawi cukup marah.'

Aku perhatikan tiga lelaki ini betul-betul. Kelihatan ketiga-tiga mereka boroi. Lalu aku terfikir apakah boroi ini tanda hidup yang berjaya. Sedang kepala aku ligar berfikir pintu bilik terbuka. Seorang lelaki yang juga boroi berdiri tercegat di tengah pintu.

"Kau orang berempat ini datang casting ke? Bangun aku nak tengok muka?". Aku sedar inilah suara lelaki yang kasar tadi. Tiga lelaki itu bangun berdiri. Aku tetap duduk tidak berganjak.

"Hoi! kau orang bertiga ini kalau nak berlakon kena masuk gym enam bulan dulu. Perut kamu boroi. Watak boroi ada… filem Jantan Dari Pagoh… tapi roll tahun depan. Sekarang ini nak roll filem Omega Yang Tercicir...