Oleh: HALIK ZAMAN
BAHANG pilihanraya semakin terasa kini. Serangan demi serangan, tohmahan demi tohmahan dilemparkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat. Kenapa dan mengapa ia berlaku? Mungkin kerana BN sudah tidak mampu menahan gelombang reformasi yang kini sedang kuat melanda di seluruh Malaysia.
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita harus mempertahankan Malaysia dari terus ‘dijajah’ oleh BN yang begitu rakus memperjudikan kehidupan rakyat Malaysia demi kepentingan para pemimpin UMNO itu sendiri.
Kenaikan harga petrol sekaligus membawa kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, yang menanggung derita dan kepayahan adalah rakyat. Para menteri dan kepimpinan tertinggi BN tidak merasa semua kesukaran rakyat kerana hidup mereka senantiasa di limpahi kemewahan duniawi sebab kepentingan mereka lebih banyak percuma dari menggunakan wang sendiri.
Rakyat Malaysia di pedalaman terus-menerus menikmati kehidupan yang sukar walau pun setelah merdeka selama 47 tahun. Kerana apa? Kerana kepimpinan mengamalkan dasar ‘endah tak endah’ kepada keperluan rakyat luar bandar dan pedalaman. Mereka hanya asyik menjaga kepentingan sendiri serta kroni-kroni di bawah ‘belaan’ mereka.
Harus diingatkan bahawa akan sampai suatu masa BN akan memerlukan ‘kuasa undi rakyat’ sebagai penentuan nasib mereka. Perlu juga disedarkan bahawa telah terjadi dalam sejarah politik Malaysia, tsunami politik hebat melanda PRU 12.
BN hampir-hampir tumpas di tangan Pakatan Rakyat. Namun kerana masih ada segelintir lagi rakyat yang masih mengharapkan ‘belanja’ RM300 untuk selama 5 tahun, maka sebab itulah ada lagi undi yang ‘tersedekah’ kepada BN. Kalau mereka diberi kuasa lagi oleh rakyat maka tidak mustahil mereka akan pergunakan kuasa atasan lagi untuk menjajah fikiran rakyat.
Tsunami politik ini hebat bergelora ekoran kembalinya Anwar ke persada politik negara ini. Kelantangan Anwar menentang dasar Kerajaan benar-benar memberikan tamparan hebat kepada kepimpinan BN. Oleh kerana itulah Anwar diperlekehkan, dijatuhkan maruah, diaibkan dan dipermainkan dengan taktik kotor kepimpinan BN. Semua ini dilakukan semata-mata untuk mengurangkan persepsi serta sokongan rakyat terhadap insan yang bernama Anwar Ibrahim serta menghindarkan lebih banyak sokongan dan pengaruh terhadap Pakatan Rakyat.
BN gentar dengan kejayaan untuk menyatukan fahaman di antara PAS dan DAP. BN begitu kecut melihatkan tiga gagasan gergasi ini bersatu di bawah panji-panji Pakatan Rakyat. Penyatuan ini umpama trauma bagi BN. Maka bak kata pepatah Inggeris, ‘By Hook Or By Crook’ Anwar harus ‘di simpan’ kembali di balik jeriji besi
Anwar dan PKR harus dipecah-belahkan untuk mengelak rakyat Malaysia dari terus-menerus menyokong kepimpinan Anwar dan PKR. Maka timbullah pelbagai fitnah yang dihadiahkan khas untuk Anwar. Walau banyak percanggahan dalam bukti, namun BN gagahi juga segala tohmahan ini kerana selagi insan yang bernama Anwar Ibrahim bebas, selagi itulah BN seringkali tidak lena diulit mimpi-mimpi ngeri akan kejatuhan empayar Barisan Nasional.
Segala-galanya bergantung kepada kuasa rakyat ‘people power’ dalam PRU13. Semua kuasa akan tunduk kepada kuasa undi rakyat.