PENDAPAT MAHATHIR TIDAK DIPAKAI

PRU: Komponen BN yakin lebih baik, anggap Dr M guna ‘reverse psychology’

November 19, 2010
Dr Mahathir meramalkan bahawa BN akan merampas semula satu atau dua negeri daripada PR. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 19 Nov — Komponen Barisan Nasional (BN) melihat pendirian terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai prestasi perikatan itu pada pilihan raya umum ke-13 ada kebenarannya, tetapi pada masa yang sama mereka menyifatkan ia sebagai satu “kenyataan psikologi balikan” agar mereka tidak terus “seronok dan selesa.”

Malah, sebahagian besar mereka memperlihatkan keyakinan yang lebih tinggi dengan berpendapat BN berpeluang merampas sehingga tiga negeri termasuk kemungkinan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Semalam, Dr Mahathir berkata BN boleh menang balik satu atau dua negeri daripada empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat (PR) tetapi kemungkinan tidak akan memperoleh kembali majoriti dua pertiga di Parlimen.

Senada dengan pandangan Dr Mahathir, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas memberitahu, BN tidak akan berhadapan dengan masalah besar untuk mendapatkan balik sebahagian besar negeri kecuali “satu negeri.”

“Saya merasakan lebih daripada dua negeri itu, kemungkinan semua kecuali satu negeri, yang lain akan kembali kepada BN,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun di peringkat di Parlimen, beliau berkata, status quo kemungkinan besar akan kekal dengan BN tetap akan terus mempertahankan kuasa tetapi tanpa majoriti dua pertiga.

“Saya fikir bilangan kerusi BN di Parlimen akan bertambah, tetapi kemungkinan tidak akan sampai majoriti dua pertiga. Ini kerana dalam mana-mana masyarakat yang menyaksikan politik yang semakin matang, kedudukan kerusi majoriti dua pertiga tidak mungkin (diperoleh dengan mudah).

“Anda lihat pada senario politik negara-negara lain pada masa sekarang... tetapi disebabkan kita sudah biasa dengan majoriti dua pertiga sejak sekian lama (sejak negara merdeka), kita beranggapan BN akan kembali memperoleh dua pertiga di Parlimen,” kata Kayveas.

Dilihat merujuk kepada suasana di United Kingdom dan Australia baru-baru ini, Kayveas berpandangan bahawa kejayaan BN memperoleh lebih 50 peratus kerusi ataupun hingga 65 peratus kerusi, yang disaksikan dua tahun lalu sudah cukup bagus.

“Bagi saya jika prestasi ini dipertahankan, ia satu kejayaan yang memuaskan bagi mana-mana kerajaan,” kata beliau, yang merupakan antara pemimpin komponen BN yang tewas ketika pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Dr Mahathir ketika bercakap kepada Bloomberg berkata BN berupaya untuk merampas balik satu atau dua negeri daripada PR dalam pilihan raya umum ke-13 atas alasan perikatan muda tiga komponen itu berada dalam keadaan goyah.

Bagaimanapun beliau berkata, BN kemungkinan “tidak akan mendapat majoriti dua pertiga (di Parlimen) bagi membolehkan mereka menerajui kerajaan (persekutuan) dengan majoriti selesa.”

Dr Mahathir melahirkan pendirian itu di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum pada suku pertama tahun depan.

Malah Dr Mahathir juga menyifatkan kepimpinan Najib memperlihatkan “perubahan besar” berbanding era Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah melihat Dr Mahathir kemungkinan tidak mahu komponen BN “selesa” dan “terlalu seronok” dengan perubahan positif yang disaksikan sejak kebelakangan ini.

“Saya melihat ini satu kenyataan yang seimbang dan berhati-hati,” kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini yang turut berkata, “kami yakin akan mendapatkan semula dua negeri.”

Kedua-dua negeri yang dimaksudkan beliau ialah Kedah dan Selangor.

“Pun begitu, saya tidak mengatakan bahawa kami tidak boleh mendapatkan semula Pulau Pinang dan Kelantan... peluang itu tetap ada, dan keyakinan itu bermula dengan Kedah dan Selangor,” kata Saifuddin.

Mengenai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Temerloh ini menggariskan tiga faktor yang dilihat BN mempunyai peluang luas untuk memperoleh kembali majoriti sebelum 8 Mac 2008.

Ketiga-tiga faktor itu ialah situasi kelam-kabut dalam PKR, BN kelihatan berdaya maju dan populariti dan pendekatan kepimpinan Najib.

“Dari sudut BN dilihat sebagai berdaya maju, saya mendapati Umno sebagai parti teras sudah mula mendapat sokongan orang Melayu, komponen-komponen BN pula sudah atasi masalah besar dan piagam BN yang akan diluluskan pada konvensyen minggu depan.

“Semua ini memberi keyakinan BN akan kembali memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen,” kata Saifuddin.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, ahli jawatankuasa pusat MCA Datuk Ti Lian Ker bersetuju dengan jangkaan Dr Mahathir sambil menekankan bahawa perkembangan-perkembangan semasa menunjukkan peralihan sokongan undi kepada BN.

Bagaimanapun menurut beliau, masih ada “saki baki sentimen” pilihan raya umum 2008, yang kemungkinan akan membawa kepada kegagalan BN mendapatkan semula majoriti dua pertiga di Parlimen dalam pilihan raya umum ke-13.

“Apa pun, sudah pasti akan ada peralihan (sokongan) dan rakyat secara perlahan-lahan mula menyedari bahawa PR, sebagai satu kerajaan alternatif, tidak dapat diterima.

“Kekurangan dan kelemahan mereka semakin ketara sejak kebelakangan ini,” kata beliau.

Tambahan pula, katanya, rakyat menyokong Najib kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang sederhana.

“Satu perkara ialah sama ada BN boleh mengekalkan momentum dan menterjemahkannya dalam bentuk undi dalam pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.

Ti juga percaya bahawa banyak kelemahan dalam PR termasuk krisis yang melanda PKR akan memanfaatkan BN.

Beliau meramalkan bahawa BN dengan mudah boleh memperoleh kemenangan mengejutkan di negeri-negeri seperti Selangor, Kedah dan malah di Kelantan juga.

Bagaimanapun di Perak dan Pulau Pinang, katanya, faktor simpati ke arah PR akan menyukarkan BN di kedua-dua negeri itu.

Bekas setiausaha agung MIC S. Murugessan pula berkata pandangan terbaru Dr Mahathir ini tidak boleh dipandang mudah sekiranya negara masih ingat apa yang diperkatakan oleh beliau sebelum pilihan raya umum ke-12.

“Apa pun pandangan seseorang tentang legasi politik Tun Dr Mahathir, perlu beri pertimbangan yang sewajarnya mengenai ramalan politik beliau.

“Beliau telah meramalkan bahawa BN kemungkinan akan tewas majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-12 dan tetapi kebanyakan orang mengetepikan beliau dengan mudah,” kata beliau dengan merujuk kepada prestasi sebenar pada 8 Mac 2008.

“(Oleh itu) BN harus mengambil kira penilaian beliau sebagai titik permulaan dan mulakan tindakan dari sana,” kata ahli jawatankausa kerja pusat MIC ini.

Murugessan yang tewas dalam persaingan kerusi Parlimen Subang dua tahun lalu menambah, sekiranya BN boleh menunaikan janji-janji urus tadbir baik dan bersedia untuk mendengar rakyat, “undi akan datang dengan sendirinya.”

No comments: