Sdr Md Zain Awang, petugas yang mengumpulkan senarai peneroka-peneroka Felda di Jengka 9 telah dihubungi oleh Pengarah Wilayah Felda Jengka untuk bekerjasama dengan Felda bagi menubuhkan sebuah Jawatankuasa untuk memantau Kilang Felda di Jengka 8.
Mengikut kata Md Zain, Pengarah Wilayah itu menunjukkan rasa simpati terhadap peneroka-peneroka berhubung dengan perahan KPG mereka yang dimanipulasikan oleh Felda dan Kilang Felda.
Dan Jawatankuasa yang ditubuhkan nanti akan bertindak untuk mempastikan tidak ada penyelewengan berlaku.
Md Zain berasa pelik dan hairan kenapa Pengarah Felda Wilayah sanggup menghubunginya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh Peneroka berhubung perahan.
Dan Pengarah Felda Wilayah itu menghubungi beliau setelah Peneroka-Peneroka daripada Felda Jengka 9, Jengka 8, Jengka 10, Jengka 11, Jengka 12, Jengka 13, Jengka 21, Jengka 22, Jengka 23, Jengka 24, Jengka 25, Felda Kota Gelanggi 1, Gelanggi 2, Gelanggi 3, Gelanggi 4, Felda Jenderak Utara dan Jenderak Selatan berkumpul dan berbincang untuk mengumpulkan Peneroka-Peneroka bertujuan untuk memfailkan saman terhadap Felda berhubung dengan perahan KPG yang diselewengkan oleh Felda dan Kilang Felda.
Bagaimanapun, Md Zain mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah Wilayah Felda Jengka, beliau menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Felda bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah Peneroka yang sudah sekian lama ditipu oleh Felda berhubung dengan isu perahan KPG.
Md Zain menyatakan bahawa rata-rata Peneroka di kawasan ini hanya diberikan KPG antara 18% hingga 20% sahaja dan majoritinya hanya 18%. Peneroka-peneroka kerugian sebanyak RM200.00 hingga RM400.00 sebulan hasil penipuan Felda ini.
"Jika Felda sanggup berunding, kita tak perlu saman Felda, tetapi rundingan yang hendak diadakan itu mestilah dengan kehadiran Peguam-Peguam kami, supaya peneroka-peneroka tidak dipermainkan,"kata Md Zain, sambil mengalu-alukan inisiatif yang bakal diambil oleh Felda itu.
Menurut Sdr Md Zain, peneroka-peneroka bukan sahaja menuntut supaya KPG mereka dinaikkan hingga ke paras yang sebenar mengikut perkiraan MPOB dan selain dari itu Felda hendaklah bersedia membayar ganti rugi selama tidak kurang dari 15 tahun kerana penyelewengan yang mereka telah lakukan terhadap Peneroka.
Md Zain juga menerima kunjungan daripada mereka yang kononnya mewakili YB Dr Shukri, ADUN Pulau Tawar. Wakil itu meminta Md Zain bekerjasama dengan YB Shukri kerana kononnya YB itu sanggup mengumpulkan peneroka-peneroka Felda disitu dan sanggup juga membawa Felda ke muka Mahkamah.
Md Zain mengalu-alukan tawaran Dr Shukri itu, dan beliau terperanjat kerana ADUN Barisan Nasional sudah menjadi berani mahu menyaman Felda, tetapi Md Zain was-was dengan kunjungan mereka yang kononnya mewakili Dr Shukri itu, dan "rasanya boleh Kiamat dunia ini kalau ADUN BN Pulau Tawar itu sanggup menyaman Felda".
"Walaubagaimana pun saya akan memberikan kerjasama dan pada bila-bila masa sanggup bertemu Dr Shukri dan memberikan sokongan jika benar YB itu mahu membantu kami menyaman Felda," kata Md Zain.
Kerjadian ini adalah aneh dan pelik, kata Md Zain, selama ini kami ditipu berterusan oleh Felda, Felda langsung tidak memperdulikan kami, tetapi apabila kami membawa Peguam-Peguam untuk mengambil tindakan saman, tiba-tiba Felda dan Wakil Rakyat BN mencadangkan perkara-perkara yang sukar diyakini.
Bagi Sdr Md Zain, inilah indahnya perjuangan. Jika peneroka-peneroka tidak berjuang dan membiarkan saja Felda menipu mereka, Felda dan BN tidak memberikan apa-apa perhatian terhadap mereka.
Beliau ingin melihat perkembangan ini dan menganggapnya sebagai positif, tetapi didalam jangka yang sama, usaha-usaha melalui Peguam untuk menyaman Felda akan diteruskan juga agar Felda dan Wakil BN tidak mempermain-mainkan Peneroka, kata Md Zain.