bantah bangunan 100 tingkat

bantah bangunan 100 tingkat

Posted by admin on October 21st, 2010

Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap muda PKR, mahu melancarkan Kempen Bantah Bajet Anti Rakyat peringkat nasional untuk mengutip tandatangan rakyat membantah projek menara Warisan Merdeka 100 tingkat bernilai RM5 bilion.

“Intipati Bajet Najib adalah membina menara 100 tingkat yang bernama menara Warisan Merdeka oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan menelan perbelanjaan RM5 bilion.

“Peranan PNB adalah menaikkan taraf pelaburan dan menjaga kepentingan Bumiputra melalui pengurusan pelaburan portfolio,” katanya.

Sehubungan itu dalam kenyataan dikeluarkan, AMK berkata, pembinaan menara bukannya keutamaan PNB dan ia hanya menunjukkan kembalinya falsafah ekonomi “Mahathirism” dalam pengurusan ekonomi yang berteraskan mega projek.

Kata AMK lagi, projek Warisan Merdeka yang dijangka siap pada 2020 telah mendapat bantahan hebat rakyat jelata.

“Apakah ini rakyat diutamakan? Apakah manfaat RM5 bilion sekiranya boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah?

“Apakah RM5 bilion boleh diguna untuk menaikkan taraf kesihatan negara kita? Mengapakah kualiti hidup rakyat tidak diutamakan semasa pembangunan dijalankan?” kata sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat ini.

Sayap itu menambah, jika meninjau dalam Laporan Ekonomi 2010/2011, hutang kerajaan persekutuan telah meningkat daripada RM362 bilion pada 2009 kepada RM408 bilion tahun ini iaitu meningkat sebanyak 12.7 peratus setahun.

Dalam keadaan ekonomi yang masih lembab, kata beliau, kerajaan persekutuan bukan sahaja tidak mengurus ekonomi dengan lebih bijaksana, malah telah mengamalkan pengurusan ekonomi pembaziran serta membebankan rakyat jelata khasnya bagi orang muda.

Semalam, PNB berkata pihaknya yakin langkah membangunkan projek hartanah bercampur Warisan Merdeka bakal menyediakan pulangan pelaburan jangka panjang menguntungkan kepada kumpulan itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pembabitan PNB dalam projek hartanah yang bakal menjadi mercu tanda terbaru di Kuala Lumpur itu adalah sebahagian usaha kumpulan itu meningkatkan pendapatannya menerusi penerokaan dalam sektor ekonomi menguntungkan.

Hamad Kama Piah turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap projek bangunan 100 tingkat itu akan menyebabkan lebihan penawaran ruang pejabat dan komersial di Kuala Lumpur seperti yang berlaku ketika ini.

“Apabila kami merancang projek ini, kami perlu memastikan ruang pejabat di bangunan itu dipenuhi.

“Bangunan ibu pejabat PNB sekarang sudah berusia 30 tahun dan kumpulan memerlukan ibu pejabat baru sejajar program pengembangan kami,” katanya.

Projek yang menempatkan bangunan tertinggi di Malaysia itu akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures membabitkan kos RM5 bilion.

PNB akan membina menara 100 tingkat itu terlebih dulu supaya ia dapat menjadi tarikan bagi pembangunan komersil lain seperti hotel, kondominium dan pusat membeli-belah.

Selain itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB turut merancang membangunkan sebuah menara tambahan berhampiran Bangunan MAS di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan mengubahsuai bangunan sedia ada.

Menurut AMK, pihaknya mahu kerajaan membatalkan penambahan cukai perkhidmatan dari lima peratus kepada enam peratus dan membatalkan cukai barangan dan perkhidmatan serta menasionalisasi syarikat PLUS dan tamatkan konsesinya.

AMK berkata pihaknya akan menggerakkan semua anggota untuk turun padang dan mengadakan pelbagai program seperti forum, ceramah dan mengedarkan risalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembaziran Bajet 2011.

“Program kutipan tandatangan di seluruh Malaysia akan dijalankan oleh pimpinan AMK di cabang-cabang,”

AMK juga menambah kepimpinan Najib dalam dua tahun ini tidak membawa perubahan ketara kepada golongan berpendapatan rendah tetapi malahan ekonomi negara ke arah tidak menentu.

“Pertama sekali, dalam pengumuman bajet beliau telah memansuhkan cukai ke atas barangan mewah import yang hanya mampu dinikmati oleh golongan kaya dan berpendapatan tinggi.

“Barangan seperti beg tangan, beg bimbit, pakaian dan kasut yang berduti antara lima hingga 30 peratus dimansuhkan. Hasrat Najib adalah membawa nama Negara Malaysia sebagai ‘shopping heaven’.

“Malangnya, semua kebaikan dan keuntungan ini dinikmati oleh pelancong asing dan menyebabkan pendapatan cukai import negara berkurangan,” kata AMK lagi.

AMK menambah, walaupun kerajaan persekutuan telah menangguhkan cukai barangan dan perkhidmatan yang telah dibantah oleh rakyat di seluruh negara, tetapi cukai perkhidmatan telah dipertingkatkan daripada lima hingga enam peratus bagi menjana hasil cukai tambahan untuk pembangunan negara.

“Ini amat membebankan golongan pertengahan dan golongan bawahan. Kerajaan percaya meningkatkan satu peratus boleh menyumbang besar dalam hasil kerajaan dan seterusnya mengurangkan defisit yang tinggi sejak beberapa tahun yang dulu.

“Kenaikan cukai perkhidmatan adalah seperti kerajaan mengenakan kutipan cukai kad kredit dan kad caj pada 2010.

“Ia merupakan cara yang sama supaya meningkatkan hasil kutipan cukai dan percayai boleh meningkatkan dua peratus daripada jumlah hasil dalam cukai jualan dan cukai perkhidmatan,” kata AMK lagi.

No comments: