MahasisMahasiswa ‘UKM 4’ Berjaya Peroleh Injuksi Mahkamah

Mahasiswa ‘UKM 4’ Berjaya Peroleh Injuksi Mahkamah

Wednesday, 02 June 2010 3:31 PM Oleh Roziyah Mahamad (Emel penulis ini)

KUALA LUMPUR : Keempat-empat Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang bakal didakwa di Mahkamah Universiti berjaya memperoleh satu Injuksi Interim secara ex parte bagi menghalang prosiding tatatertib universiti pada hari ini.

"Hari ini merupakan sejarah baru dalam gerakan mahasiswa sejak negara kita mencapai kemerdekaan.

"Kemenangan mahasiswa menangguhkan prosiding pada hari ini adalah kemenangan pertama buat seluruh mahasiswa di negara ini.

"Walau bagaimanapun, SMM menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kembali mendengar semula kes ini secara inter-partes pada 17 Jun 2010 dan kita yakin bahawa 4 orang pejuang mahasiswa ini telah bersedia untuk kes itu nanti. Harapannya, agar semangat dan keazaman mereka tetap kukuh dan berterusan dalam perjuangan," kata Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman dalam kenyataan medianya kepada erapakatan.

Beliau yang mewakili SMM merasakan bahawa ini adalah satu tanda awal yang sangat positif dalam usaha dan perjuangan SMM untuk menuntut agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimansuhkan.

"Bukan hanya kerana soal hak dan kebebasan mahasiswa sahaja, namun ia juga atas kesedaran untuk memperbaiki tahap kebebasan akademik yang semakin merudum di negara Malaysia ini," tegas beliau.

Dalam pada itu, SMM juga mengingatkan bahawa perbicaraan kes AUKU, Soh Sok Hwa, pada Jumaat, 4hb Jun 2010 akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga pada jam 3.30 petang.

Ridzuan yang mewakili SMM dan seluruh pergerakan mahasiswa konsisten menolak sama sekali Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

"Biarpun perjuangan ini sudah lama bermula, namun kami merasakan bahawa kes sepanjang minggu ini memberikan nafas baru kepada pergerakan mahasiswa dalam usaha SMM untuk menuntut supaya AUKU dimansuhkan.

SMM dengan lantangnya menyeru kepada seluruh pergerakan mahasiswa, anak muda, ahli akademik, serta seluruh masyarakat supaya bersama-sama berjuang dan menolak AUKU 1971 ini.

"Kami juga menuntut kerajaan untuk memansuhkan akta ini yang sama sekali mengekang hak dan kebebasan mahasiswa dan yang lebih penting lagi turut mengekang hak dan kebebasan mahasiswa berakademik.

"Atas semangat dan harapan kearah masa depan Malaysia yang lebih baik, SMM sekali lagi menyeru seluruh masyarakat untuk turut sama dalam perjuangan menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti dan menuntut untuk dimansuhkan," tegas beliau.

Empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 31 mei lalu telah menfailkan permohonan injunksi bagi menyekat universiti itu mendakwa mereka di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha telah memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada jam 2 petang namun permohonan tersebut telah ditolak.

Pada 1 Jun, mereka telah memohon injuksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan permohonan mereka telah berjaya.

UKM bakal mendakwa empat mahasiswa itu di bawah AUKU kerana didakwa berkempen di Hulu Selangor.