BAB INI UMNO NAK DENGARKAH CAKAP ........

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak kerajaan dan Sime Darby Berhad menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca kerugian RM1.3 bilion syarikat itu dan pihak yang bertanggungjawab dalam urusniaga tersebut.

Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Ibrahim Ali, berkata, langkah itu penting kerana siasatan dalaman yang dilakukan oleh Sime Darby boleh dipertikai ketelusannya terutama bagi menyabitkan pihak bertanggungjawab kerana keanggotaannya terdiri daripada kakitangan syarikat tersebut.

"Kerajaan dan Sime Darby harus mengambil tanggungjawab dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pihak yang tiada kepentingan kerana kerugian ini membabitkan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

"Walaupun siasatan dalaman telah dilakukan, ketelusannya boleh dipertikaikan. Rakyat mahu tahu pihak yang bertanggungjawab tanpa sebarang penyembunyian fakta kerana ia melibatkan duit rakyat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyerahkan resolusi bagi mendesak semua 12 ahli lembaga pengarah termasuk Pengerusinya, Tan Sri Musa Hitam melepaskan jawatan masing-masing di Menara Sime Darby di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, beliau khuatir jika kerajaan tidak telus dan terbuka dalam isu berkenaan, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan kemampuan tadbir urus sesebuah GLC semakin terhakis.

Mengenai resolusi tersebut, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan tanggungjawabnya iaitu menyampaikan suara hati rakyat peringkat akar umbi dan kini terpulang kepada pengurusan Sime Darby untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, resolusi itu diluluskan oleh 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sempena persidangan Kongres Ekonomi Bumiputera yang dianjurkan Sabtu lalu.

"Kami lakukan perkara ini mengikut prosedur kerana percaya semua ahli lembaga pengarah adalah orang yang mempunyai integriti, cerdik serta bertanggungjawab dalam menguruskan sesebuah syarikat GLC yang mempunyai kaitan langsung dengan rakyat.

"Kerugian ini hendaklah ditanggung secara bersama oleh semua pihak dan tidak wajar hanya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid yang diarahkan bercuti kerana kami percaya sebarang keputusan yang dibuat, ia dilakukan secara kolektif oleh ahli lembaga pengarah,'' jelasnya.

No comments: