Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN: Adalah benar, KEADIILAN kalah teruk dalam tiga Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Apakah ini bermakna parti KEADILAN sudah tidak ada masa hadapan?
Jawapannya tidak. KEADILAN bukan seperti parti Semangat 46,
selepas tewas dua kali Pilihan Raya Umum (1990, 1995), terus tutup kedai dan
rujuk semula ke Umno.
KEADILAN yang nama penuhnya Parti Keadilan Rakyat adalah parti
reformasi dan parti perjuangan. Jika disusur galur sejarahnya, KEADILAN bukan
hanya bermula dari letusan reformasi tahun 1998. Parti Keadilan Rakyat
merupakan percantuman dua buah parti politik iaitu Parti Keadilan Nasional
(KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 2003.
KeADILan mewarisi gerakan reformasi 1998 manakala PRM mewarisi
perjuangan sejak Kesatuan Melayu Muda,KMM (1930an), Parti Kebangsaan Melayu
Malaya, PKMM (1946) dalam menentang penjajahan Inggeris untuk kemerdekaan
tanahair.
Parti reformasi dan parti yang mewarisi perjuangan kebangsaan
untuk kemerdekaan yang ada pada batang tubuh KEADILAN ini, tidak akan lumpuh
dan mati hanya kerana kalah beberapa pilihan raya.
Ada hikmah kepada KEADILAN sebenarnya setelah melalui beberapa
kekalahan dalam pilihan raya peringkat negeri. KEADILAN akan dapat segera
mempelajari, menilai, menganalisis keadaan untuk bangkit kembali menjelang PRU
ke-15 dengan strategi yang ampuh dalam menangani keadaan politik, ekonomi dan
sosial semasa yang banyak berubah sekarang ini.
Proses peremajaan KEADILAN terus berlaku
KEADILAN masih merupakan antara blok politik terbesar di parlimen
dengan memiliki jumlah ahli parlimen yang ramai. Presidennya Datuk Seri Anwar
Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Anwar juga masih
mengetuai Pakatan Harapan (PH) iaitu blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.
KEADILAN sebuah parti demokrasi yang mengamalkan sistem terbuka
dan bebas, satu anggota satu undi untuk memilih pucuk pimpinan termasuk
presiden akan menjalankan pemilihan parti pada bulan April depan dan diikuti
dengan Kongres Nasional pada bulan Mei berikutnya.
Proses peremajaan KEADILAN sentiasa berlaku. Tiada sesiapa akan
dihalang untuk mencabar Anwar Ibrahim sebagai Presiden. Sesiapa yang bersedia
dan berani, semua lorong dan jalan dibuka untuk jawatan Presiden KEADILAN
dicabar.
Oleh kerana KEADILAN parti reformasi dan parti perjuangan, maka
tidak ada sesiapa akan dianugerahkan jawatan kepimpinan di atas dulang perak.
Juara tinju Muhammad Ali tidak menjadi seorang juara jika dia tidak mencabar
Sony Liston, juara menanti. Begitu juga John F Kennedy tidak akan menjadi
Presiden Amerika Syarikat yang penuh karismatik jika dia tidak menumbangkan
pencabarnya Richard Nixon dari Parti Republikan.
Begitu juga halnya dengan Anwar Ibrahim. Dia tidak diberi
kepimpinan di atas dulang perak. Dia berjuang untuk dinobatkan sebagai seorang
pemimpin sejak zaman muda. Anwar bersaing sesama rakan pimpinan seangkatannya
untuk akhirnya beliau muncul sebagai Presiden Belia Malaysia (MBM) sebuah
gabungan pergerakan belia pelbagai kaum dan agama yang menjadi badan induk
belia Malaysia pada tahun 1974.
Orang di luar KEADILAN boleh bersuara supaya Anwar Ibrahim
berundur setelah KEADILAN dan PH kalah dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
Tetapi hanya anggota KEADILAN sahaja yang mempunyai hak dan
keistimewaan jika mereka mahu menukar Anwar Ibrahim. Jadi cabaran terletak
kepada anggota KEADILAN sendiri untuk menentukan masa hadapan parti.
Tiada yang menandingi karismatik Anwar
Jika ada di kalangan anggota KEADILAN merasakan Anwar sudah tidak
lagi relevan, maka pemilihan parti pada bulan April depan adalah masanya.
Tetapi masing-masing perlu bercermin diri. Misalnya dalam PRN Johor yang baru
berlalu ini, siapakah yang paling kuat berkempen untuk calon-calon KEADILAN
jika bukan Anwar Ibrahim?Begitu juga sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang di
Parlimen. Tidak ada sesiapa yang akan menghalang untuk orang lain menggantikan
Anwar sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang. Jawatan-jawatan itu bukan
dipegang selama ini oleh Anwar atas alasan tidak bersebab. Ada meritnya yang
ada pada diri Anwar. Jika sudah sampai ketikanya kini, Anwar sudah tidak lagi
relevan dan PRU-15 akan datang perlukan seorang jeneral baru untuk memimpin PH
dan blok pembangkang, tidak ada siapa yang akan menghalang. Silalah pilih
jeneral baru kalau ada.
Anwar Ibrahim tidak akan melepaskan tanggungjawabnya pada rakyat
dan negara secara mudah, santai-santai begitu sahaja. Beliau seorang pejuang
yang tahu tugas sejarahnya. Bukan sia-sia beliau bertahan berbelas tahun di
dalam penjara. Itu harga yang perlu dibayar demi idealisme perjuangannya.
Anwar tidak mendapat secara percuma mendaki saf kepimpinan di
zaman dia di dalam Umno. Untuk menjadi Ketua Pemuda Umno pun, Anwar bertarung
mengalahkan Shuhaimi Kamarudin. Dari jawatan itu beliau menjadi Naib Presiden
Umno juga melalui persaingan yang sengit. Dia menang.
Jawatan Timbalan Presiden Umno kepadanya tidak datang menggolek.
Anwar perlu mencabar Tun Ghafar Baba dan menewaskannya di gelanggang politik.
Begitulah seterusnya Anwar Ibrahim tidak ke penjara jika dia tunduk dan akur
menyerah kalah kepada Tun Mahathir Mohamad, Presiden Umno dan Perdana Menteri
yang menzaliminya.
Jadi adalah satu kesilapan jika ada sesiapa yang menganggap Anwar
Ibrahim sudah tidak lagi relevan dan KEADILAN sudah tidak ada masa hadapan.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang