
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis sambutan Hari Belia Negara 2026 yang dilangsungkan di D’Tempat Country Club Sendayan, Negeri Sembilan pada 15 Mei 2026. Foto Bernama
SEREMBAN, 15 Mei – Kepentingan budaya pemikiran kritis dalam kalangan anak muda wajar ditekankan, namum mengingatkan bahawa setiap teguran dan idealisme haruslah berpaksikan kepada ilmu serta keutuhan akhlak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima teguran daripada golongan muda, termasuk kritikan terhadap kepimpinan beliau sendiri, selagi ia disandarkan kepada prinsip dan keyakinan yang murni.
“Sebab itu saya katakan pemikiran kritis itu harus ada. Dalam beberapa pertemuan, mereka (anak muda) memberi teguran kepada bapa-bapa mereka, malah kepada Perdana Menteri. Kita harus terima dengan baik kerana mereka menegur berdasarkan prinsip dan keyakinan.

“Kita mahu anak muda kita berlapang dada menimba ilmu, tetapi prinsip akhlak itu mesti ada,” katanya ketika mengulas mengenai peranan belia dalam mendepani cabaran negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini, pada Jumaat, bagi mengulas isu yang dibangkitkan oleh kepimpinan belia berhubung permasalahan rakyat seperti kadar pengangguran, kos sara hidup dan kestabilan geopolitik di Selat Hormuz.
Menurut Anwar, walaupun Malaysia mencatatkan kejayaan ekonomi yang membanggakan, masih terdapat segelintir pihak, khususnya dalam kalangan pembangkang, yang memilih untuk menolak segala fakta pembangunan demi kepentingan politik sempit.
Mengulas mengenai budaya politik toksik, Perdana Menteri kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menggunakan naratif melampau dalam pidato mereka sehingga hilang pertimbangan idealisme.
“Saya dengar ada satu pidato, pertama, dia bayangkan saya dengan Abu Jahal. Kedua, dia kata tidak ada pembangunan, kononnya negara dan ekonomi hancur. Ini dia belajar ‘kitab’ mana pun saya tidak tahu.
“Ini petanda hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran kritis yang akhirnya didorong oleh hawa nafsu tanpa pertimbangan ilmu serta akhlak. Inilah pesanan saya kepada anak-anak muda,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Anwar menyeru agar budaya berlapang dada dan semangat musyawarah terus disuburkan dalam menyelesaikan sebarang permasalahan demi mencapai muafakat yang baik untuk negara.
Beliau turut memuji peranan pimpinan belia dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang berani tampil memberi teguran secara berhemah dan membina.
Oleh Faida Rahim


No comments:
Post a Comment