Aminah, 56 lain failkan semakan kes tunggakan pencen
KUALA LUMPUR: Pesara kerajaan, Aminah Ahmad dan 56 lain memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan membayar tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion.
Pembayaran pencen itu adalah kepada 531,976 pesara berdasarkan gaji terakhir mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016.
Aminah memfailkan permohonan semakan itu pada 10 April lalu di Mahkamah Rayuan mengikut Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994), melalui firma guaman Shukor Baljit & Partners.
Pemohon memohon perintah daripada Mahkamah Rayuan supaya keputusan mahkamah sama pada 9 Mac lalu disemak semula dan diketepikan.
Mereka turut memohon supaya rayuan itu didengar semula di hadapan panel hakim mahkamah rayuan lain yang berbeza komposisinya, dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Menurut adidavit sokongan yang diikrarkan oleh Aminah, menyatakan antara alasan semakan itu ialah, mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada menurut Kaedah 105 untuk mengelakkan ketidakadilan dan penyalahgunaan proses.
Selain itu, ia menyatakan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mac lalu wajar diketepikan kerana ia dibuat dalam keadaan yang menimbulkan risiko sebenar berlakunya berat sebelah, menyebabkan pelanggaran prinsip keadilan asasi dan tidak selamat.
Beliau menyatakan, salah seorang ahli panel sebelum ini telah menyatakan pandangan berbeza mengenai satu isu undang-undang yang pada asasnya serupa, namun gagal mendedahkan perkara itu kepada pihak-pihak terlebih dahulu.
Menurut Aminah, kegagalan untuk mendedahkan pendirian kehakiman terdahulu telah menafikan peluang kepada pemohon untuk membantah atau memohon penarikan diri.
Katanya, pemohon tidak mempunyai sebarang remedi lain untuk menangani ketidakadilan berkenaan, oleh itu ia memerlukan campur tangan mahkamah bagi mengelakkan penyalahgunaan proses mahkamah.
"Oleh yang demikian, adalah adil dan saksama bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu diketepikan dan didengar semula di hadapan panel hakim yang berbeza komposisinya," katanya.
Pengurusan kes permohonan semakan terbabit ditetapkan pada 28 April ini.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan menyelaraskan pencen bekas penjawat awam berdasarkan pekeliling perkhidmatan 2016.
Ia sekali gus mengelakkan kerajaan daripada membayar tunggakan berjumlah RM1.7 bilion kepada lebih setengah juta pesara.
Hakim Azhahari Kamal Ramli, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim, berkata perkara itu telah diputuskan sebelum ini menerusi keputusan Mahkamah Rayuan pada 2022.
Sehubungan itu, katanya, semakan kehakiman yang difailkan oleh Aminah Ahmad bersama 56 pesara penjawat awam lain – selaku responden dalam rayuan semasa – adalah res judicata dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Bagaimanapun, panel yang dipengerusikan oleh Hakim DatukLim Chong Fong serta turut dianggotai Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menjelaskan bahawa keputusan itu hanya terpakai kepada 57 responden dalam kes berkenaan.
Dalam keputusan pada 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan pindaan dibuat terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 pada 2013 yang memperuntukkan kenaikan tahunan tetap sebanyak dua peratus kepada pesara.
Mahkamah itu turut memutuskan pindaan 2013 itu tidak berperlembagaan kerana meletakkan pesara perkhidmatan awam dalam kedudukan kurang memihak, sekali gus bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Aminah, bekas pegawai Kementerian Luar Negeri Malaysia, bersama responden lain kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memohon Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan menyelaraskan pencen mereka berdasarkan formula sebelum 2013 seperti yang ditetapkan dalam akta berkenaan.
Formula sebelum 2013 mewajibkan kerajaan menyemak semula pencen selaras dengan pelarasan gaji pegawai yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan responden, sekali gus membawa kepada rayuan semasa.
Sumber: Berita Harian
#pelarasanpencen
#aminahahmad
#mahkamahrayuan
No comments:
Post a Comment