Norman Daud
Hari ini tular di media sosial mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh satu pengguna di X, EdisiMy, yang cuba mengaitkan kes kematian seorang pegawai tribunal Kastam di kompleks Kementerian Kewangan pada Mac 2025 dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim .
Tuduhan tanpa sebarang bukti dilemparkan sewenang-wenangnya oleh pengguna tersebut sedangkan polis telah menyiasat dan mengklasifikasikan kes ini sebagai Sudden Death Report (SDR).
Ya, memang terdapat banyak keraguan dan misteri dalam kes ini. Namun mengaitkan PMX ke dalam kes tersebut tanpa memberikan sebarang bukti jelas adalah satu tindakan berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
Dalam mana-mana negara yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, tuduhan jenayah lebih-lebih lagi tuduhan pembunuhan tidak boleh dibuat berdasarkan khabar angin atau spekulasi di media sosial. Tuduhan seperti ini memerlukan bukti kukuh, siasatan terperinci dan akhirnya diputuskan oleh mahkamah, bukan oleh akaun anonim di platform digital.
Lebih membimbangkan, budaya melempar tuduhan tanpa bukti ini semakin menjadi alat politik yang murah. Apa sahaja peristiwa misteri akan cuba dipintal untuk disandarkan kepada tokoh politik tertentu bagi membentuk persepsi awam. Strategi ini mudah.. ulang tuduhan berkali-kali sehingga sebahagian masyarakat mula percaya walaupun tiada fakta yang menyokongnya.
Jika benar ada maklumat atau bukti baharu berkaitan kematian pegawai tersebut, saluran yang betul ialah menyerahkannya kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia untuk disiasat secara profesional. Melempar tuduhan di media sosial tanpa bukti bukan sahaja tidak membantu mencari kebenaran, malah boleh menjejaskan reputasi individu dan mengganggu proses keadilan.
Dalam isu ini, kita harus berpegang kepada prinsip yang mudah.. kritik boleh, persoalan boleh, tetapi fitnah tidak boleh. Kematian seseorang adalah perkara serius yang menuntut siasatan telus, bukannya dijadikan bahan propaganda politik.
Akhirnya, jika benar ada pihak yang memiliki bukti bahawa wujud unsur jenayah atau penglibatan mana-mana individu, maka bawalah bukti itu ke hadapan. Tetapi selagi ia sekadar dakwaan tanpa asas, menuding jari kepada Perdana Menteri hanyalah satu bentuk fitnah politik yang tidak bermaruah.
CC YB Menteri komunikasi Fahmi Fadzil

No comments:
Post a Comment