Norman Daud
Malam tadi kereta Cikgu Chandra telah dibakar oleh penganas, sebelum itu kereta Jaguar Zamri Vinod pula telah dikepung oleh beberapa individu yang tidak dikenali. Semua ini adalah tindak balas puak tertentu apabila mereka merasakan kepentingan mereka terancam, dan kita semua tahu isu apa yang dimaksudkan.
Sebenarnya, kejadian sebegini telah dijangkakan. Bila melibatkan isu agama, ianya pasti akan memberi kesan buruk dan menimbulkan reaksi keganasan. Tidak kira agama mana pun, bila ditekan, reaksi biasanya akan buruk.
Sebab itu, dalam Islam sendiri, umat Islam dilarang mencerca anutan agama orang lain. Allah berfirman dalam Surah Al-An‘am, ayat 108:
“Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain Allah, karena nanti mereka akan menghina Allah tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan setiap umat menganggap baik perbuatan mereka.”
Ayat ini mengingatkan bahawa perbuatan menghina kepercayaan orang lain hanya akan menimbulkan balasan yang sama, dan kemarahan manusia akan mengatasi rasional. Itulah realiti yang sering dilupakan oleh ramai pihak hari ini.
Apabila isu agama diprovok secara terbuka, sentimen sesuatu komuniti mudah meledak. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, api itu tidak mengambil masa lama untuk merebak.
Insiden malam tadi sepatutnya menjadi peringatan kepada semua pihak. Serangan terhadap kereta Cikgu Chandra dan kepungan terhadap Zamri Vinod tidak boleh dianggap biasa. Keganasan tetap keganasan, dan mesti dikutuk tanpa kompromi.
Namun begitu, tindakan mendiri rumah ibadat atau tindakan sendiri secara haram adalah satu kesalahan. Kita semua bersetuju mengenai hal ini. Ia tidak memerlukan otak genius untuk memahaminya. Dalam menangani isu sebegini, tindakan mestilah bersandarkan undang-undang negara. Kita tidak boleh bertindak sendiri walaupun niat itu betul dari segi prinsip, kerana ianya boleh membahayakan diri sendiri dan mencetuskan suasana yang tidak aman.
Sejarah menunjukkan bahawa apabila isu agama dipermainkan atau diprovok, akan muncul golongan yang bertindak melulu. Mereka mungkin tidak mewakili majoriti, tetapi satu tindakan kecil sudah cukup mencetuskan ketegangan besar. Malaysia selama ini stabil kerana ada kontrak sosial, kita boleh berbeza agama dan budaya, tetapi tidak menyentuh perkara sensitif secara sembrono.
Justeru, penyelesaiannya bukan dengan menambah provokasi, bukan juga dengan membalas kemarahan dengan kemarahan. Jalan keluarnya ialah kembali kepada prinsip saling menghormati. Agama tidak boleh dijadikan alat untuk mencabar atau menghina pihak lain, dan keganasan tidak boleh dijadikan bahasa untuk mempertahankan kepercayaan. Jika tidak, kita sedang membuka pintu kepada kitaran yang lebih berbahaya: provokasi melahirkan kemarahan, kemarahan melahirkan keganasan, dan keganasan melahirkan lebih banyak kebencian.
Akhirnya, yang rugi bukan satu kaum atau satu agama. Yang rugi ialah negara ini sendiri. Undang-undang wujud bukan untuk menghalang kita menegakkan hak atau melindungi kepercayaan, tetapi untuk menjadi perisai agar tindak balas kita tidak menambah masalah kepada masyarakat. Dengan menghormati undang-undang dan saling menghormati, keamanan dan keadilan boleh dikekalkan, dan negara ini kekal stabil untuk semua.

No comments:
Post a Comment