Saya dapat benda ini dari facebook.
Saya yakin ini adalah disebabkan oleh status saya semalam yang menyentuh tentang Majlis Raja-Raja berhubung isu Terrirudin.
Pertamanya saya mengaku kekhilafan dan kesilapan saya berkongsikan satu berita yang saya tidak pastikan lagi kesahihannya di sosial media, apatah lagi berkaitan dengan persidangan Majlis Raja-Raja yang sememangnya merupakan sesuatu yang sulit. Saya harus akui, saya tiada akses terhadap persidangan tersebut. Apa yang saya kongsikan hanyalah dari perbualan-perbualan yang saya tangkap isinya sahaja. Silap saya kerana terlalu teruja berkongsikan sesuatu yang tidak pasti walaupun dengan niat bertanyakan kesahihan, dan walaupun perkara itu berkonotasikan positif.
Namun demikian, saya tidak berniat memfitnah Raja-raja, apatah lagi melemahkan kedudukan mereka. Sebaliknya saya yakin dan percaya, majoriti rakyat terutamanya mereka yang cakna akan isu kehakiman ini memang mengharapkan agar MRR akan bertindak mengenepikan nama Terrirudin tersebut. Di saat rakyat mengalami defisit kepercayaan terhadap institusi-institusi utama di negara ini, maka Majlis Raja-Raja sahaja merupakan harapan terakhir rakyat yang mahu suara mereka didengar. Dan saya yakin dan percaya, rakyat pasti menjunjung tinggi Majlis Raja-Raja sekiranya "cakap-cakap" itu benar.
Apapun, itu tidak membenarkan perbuatan saya mengongsikan sesuatu yang belum pasti, baik benda itu negatif atau positif. Saya akui kesalahan saya, dan saya memohon ampun kepada Majlis Raja-Raja atas kelancangan saya. Saya bersedia memberikan kerjasama kepada pihak Polis sekiranya diperlukan.
Sepertimana saya lantang mempertahankan titah diRaja seperti titah addendum, seperti itulah saya terus teguh menjunjung Rukunegara kedua.

No comments:
Post a Comment